Parkir bertingkat, pasar awam antara pelan pembangunan KPKT tingkat prasarana di Ipoh
Bernama
Disember 12, 2022 10:10 MYT
Disember 12, 2022 10:10 MYT
IPOH: Parkir bertingkat dan pasar awam antara pelan pembangunan jangka panjang yang dirancang Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meningkatkan prasarana sekitar bandar raya ini.
Menterinya Nga Kor Ming berkata itu antara hasil lawatan beliau ke kawasan Pekan Lama Ipoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang yang mendapati banyak perubahan yang diinginkan oleh rakyat setempat.
"Saya telah mengarahkan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin untuk mengemukakan pelan pembangunan tempat meletak kereta bertingkat di Pekan Lama Ipoh bagi mengatasi masalah kesesakan yang sekian lama membelenggu pelancong dan penduduk setempat.
"Tahun depan KPKT juga akan melakukan kerja menaik taraf dan membaik pulih Pasar Besar Ipoh yang kini dilihat dalam keadaan kurang memuaskan apabila lawatan saya secara senyap mendapati banyak masalah kebersihan, lampu dan bumbung bocor yang perlu diatasi," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Khidmat ADUN itu di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Nga berkata beliau turut mengadakan perbincangan bersama Rumaizi berhubung Pangsapuri Waller Court di sini yang merupakan antara pangsapuri tertua di Malaysia dan terpanjang di Asia Tenggara kira-kira 60 tahun yang berada dalam keadaan daif dan usang serta perlu dibaik pulih.
"Majlis Bandaraya Ipoh akan mengemukakan pelan pembangunan semula kawasan ini supaya ia menawarkan satu mercu tanda selaras imej Bandaraya Ipoh yang perlu kita jaga bersama," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata projek pembinaan semula Pasar Pinji yang asalnya dibina pada 1959 dan kini berusia 63 tahun pula akan disambung semula selepas dibatalkan oleh kerajaan terdahulu.
"Setelah melawat dan melihat keadaan yang cukup usang maka saya bersetuju supaya sebuah pasar baharu serba moden dapat dibina di Pasir Pinji dan saya berharap ia dapat disiapkan menjelang 2025 atau 2026 dalam penggal ini," katanya.
-- BERNAMA