Parkir bertingkat akan dibina berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis

Bernama
Disember 20, 2024 14:00 MYT
Sebuah parkir bertingkat dengan kapasiti 690 lot parkir akan dibina berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis. -Gambar fail/Google Maps
KANGAR: Sebuah parkir bertingkat dengan kapasiti 690 lot parkir akan dibina berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis, dekat sini dalam usaha meningkatkan kemudahan untuk pelancong, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Affendi Rajini Kanth.

Ringkasan AI
  • Sebuah parkir bertingkat dengan kapasiti 690 lot akan dibina berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis.
  • Pembinaan ini telah mendapat kelulusan KPKT dan dijangka siap pada 2026.
  • MPK akan melaksanakan sistem aplikasi pintar letak kereta bermula Januari ini dengan fasa awal melibatkan bandar ini sebelum diperluaskan ke seluruh Perlis.

Beliau berkata pembinaan parkir tujuh tingkat itu mendapat kelulusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan pembinaannya akan dimulakan tidak lama lagi dan dijangka siap pada 2026.
"Kami berterima kasih kepada KPKT atas kelulusan yang diberikan bagi membantu menangani masalah kekurangan parkir di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang sempena 100 hari pentadbirannya sebagai Yang Dipertua MPK di sini.
Sementara itu Affendi berkata MPK akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menguatkuasakan larangan pembuangan sampah termasuk mengenakan kompaun secara terus di lokasi bagi kesalahan seperti membuang puntung rokok.
"Denda yang dikenakan antara RM10 dan RM50, bagaimanapun kita akan mulakan dengan proses mendidik masyarakat dari Jan hingga Mac 2025, sebelum menguatkuasakan larangan ini," katanya.
Sementara itu beliau berkata pihaknya berhasrat memohon kepada kerajaan negeri untuk menukarkan nama MPK kepada Majlis Perbandaran Perlis.
Affendi berkata nama MPK sering menimbulkan persepsi salah dalam kalangan umum bahawa kawasan perkhidmatan pihaknya hanya terhad di sini, sedangkan mereka bertanggungjawab bagi seluruh Perlis.
"Ini antara usaha kita untuk menjadikan Perlis sebagai bandar pintar, bukan sekadar Kangar tetapi seluruh negeri. Kami menjangkakan usaha penjenamaan semula ini akan dilaksanakan tahun depan," katanya.
Sementara itu beliau berkata MPK akan melaksanakan sistem aplikasi pintar letak kereta bermula Januari ini dengan fasa awal melibatkan bandar ini sebelum diperluaskan ke seluruh Perlis dengan lebih 8,500 lot parkir akan disediakan menerusi aplikasi berkenaan.
"Aplikasi ini telah dibangunkan dan bersifat integrasi, yang membolehkan pengguna di Perlis dan luar Perlis turut mengakses perkhidmatan parkir pintar ini. Projek ini merupakan sebahagian usaha MPK untuk meningkatkan sistem pengurusan parkir yang lebih efisien," katanya.
-- BERNAMA
#Terminal Feri Kuala Perlis #parkir bertingkat #KPKT #parkir tujuh tingkat
;