'Paras oksigen dah menurun, saya pandu kereta sendiri meskipun sesak nafas' - Pesakit COVID-19

Fareez Azman
Julai 31, 2021 15:36 MYT
Meskipun masih mengalami trauma ketika dibenarkan pulang, namun semangatnya untuk kembali pulih dan pulang ke pangkuan anak dan suami membuat diri Nurhaizi lebih kuat.- Foto Nurhaizi Rani
KUALA LUMPUR: Setiap hari kes positif COVID-19 mencatatkan peningkatan dan sehingga kini jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia telah melebihi 1 juta kes.
Di sebalik pengorbanan petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak ini dan menyelamatkan nyawa rakyat, kisah seorang wanita bekas pesakit COVID-19 kategori empat ini akan membuka mata semua pihak bahawa kawalan kendiri menyelamatkan nyawanya.
Nurhaizi Rani, 42, seorang perunding majlis perkahwinan berkongsi dengan Astro AWANI, detik cemas ketika beliau mengalami sesak nafas di rumahnya di Shah Alam pada 26 Jun lalu.
Dua hari sebelum itu, dia disahkan positif COVID-19 susulan saringan yang dilakukan di sebuah klinik swasta selepas mengalami demam panas.
Anaknya juga positif COVID-19, manakala suami terpaksa berkurung di bilik kerana negatif. Bagaimanapun kira-kira jam 11.30 malam, 26 Jun itu, Nurhaizi mengalami sesak nafas.
"Masa tu akak mula mengah dan susah nak bernafas. Tahap oksigen dalam badan pun dah turun. Masa itu akak gunakan oxymeter.
"Akak call ambulans, tapi tak dapat. Dalam keadaan mengah, akak kuatkan semangat pandu kereta sendiri ke Hospital Shah Alam. Sampai di hospital, tiada parking pula, terpaksa park kereta di tingkat bawah.
"Masa tu akak kuatkan semangat berjalan naik bukit nak ke Jabatan Kecemasan. Masa tu dada rasa macam nak pecah, sampai je di situ petugas kesihatan terus bantu akak," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Keesokannya Nurhaizi dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Putra Malaysia.
Ketika itu juga, suaminya dan pembantu rumah pula disahkan positif COVID-19.
"Akak rasa sendiri macam mana susah bernafas akibat paru-paru dah kena radang. Bila diberi oksigen tapi level oksigen tak naik.
"Masa tu juga, suami dan pembantu rumah positif, akak terfikir siapa yang akan jaga anak kalau mereka turut sesak nafas macam akak.
"Tetapi alhamdulillah keadaan semakin pulih dengan cepat terutama pernafasan akak semakin baik bila dirawat. Faktor vaksin juga main peranan kata jururawat yang rawat akak masa tu.
"Syukur alhamdulillah, selama tujuh hari akak di hospital, 13 Julai lepas tamat kuarantin selama 21 hari," jelas Nurhaizi lagi.
Bagaimanapun beliau ketika ini masih mengalami simptom seperti cepat mengah dan penat serta dada rasa kurang selesa.
Tetapi bagi Nurhaizi, inisiatif kawalan kendiri amat membantu dan perlu diamalkan oleh setiap pesakit COVID-19 yang bergejala ringan.
"Kendiri di rumah penting, jangan ambik mudah. Masa tu akak yakin masih boleh pandu kenderaan dan tak mahu tunggu lama dan terus buat keputusan untuk ke hospital sebelum keadaan jadi lebih teruk.
"Dalam keadaan sekarang penting untuk kita bertindak cepat melalui inisiatif sendiri terutama melibatkan pernafasan.
"Kita faham keadaan yang teruk sekarang dengan kuantiti ambulans tak cukup, jadi tekanan kepada petugas barisan hadapan juga bukan mudah," jelas Nurhaizi lagi.
Meskipun masih mengalami trauma ketika dibenarkan pulang, namun semangatnya untuk kembali pulih dan pulang ke pangkuan anak dan suami membuat dirinya lebih kuat.
Manakala suami, anak dan pembantu rumahnya kini telah bebas dari COVID-19.
Kisah ini bukan untuk mencetuskan kerisauan, tetapi memberi pengajaran kepada semua agar lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga kawalan kendiri.
#COVID-19 #unit rawatan rapi #kes positif #Malaysia #perkahwinan #petugas barisan hadapan #ICU #sesak nafas #Nurhaizi Rani #vaksin #oksigen
;