Paras kolesterol normal wajar jadi azam Tahun Baharu 2020
Dr Sazwan Reezal Shamsuddin
Disember 31, 2019 10:00 MYT
Disember 31, 2019 10:00 MYT
SALAH satu mitos kesihatan adalah orang kurus paras kolesterolnya normal manakala yang gemuk paras kolesterolnya tinggi. Ini bukanlah benar seluruhnya.
Tahap kesedaran masyarakat tentang risiko mendapat serangan jantung telah bertambah. Selain daripada serangan jantung, penyakit angin ahmar (Stroke) juga berkongsi faktor risiko yang sama.
Semakin ramai yang menjalani cara hidup sihat. Kita boleh lihat bilangan orang ramai yang bersenam di taman permainan semakin bertambah.
Kelihatan di media-media sosial, masyarakat didedahkan dengan cara hidup sihat. Berat badan ideal, merokok, kepentingan merawat penyakit yang berisiko menyebabkan serangan jantung dan angin ahmar seperti Diabetes Mellitus (Kencing Manis) dan Hypertension (Darah tinggi) saban hari dibicarakan. Memang benar, empat perkara itu adalah faktor risiko boleh ubah serangan jantung.
Namun, kita masih lagi mendengar kisah-kisah kematian mengejut akibat serangan jantung. Adakalanya, mangsa adalah seorang yang aktif bersukan, tidak merokok dan mempunyai berat badan unggul. Jarang kita mendengar faktor pencetus serangan jantung ini, iaitu paras kolestrol tinggi.
Fakta daripada Institute for Public Health, National Health and Morbidity Survey 2015 agak mengejutkan. Satu daripada lima orang dewasa yang berumur antara 18 sehingga 19 tahun mempunyai paras kolesterol melebihi normal.
Jawatankuasa laporan ini mencadangkan pemeriksaan paras kolesterol untuk dewasa yang berumur melebihi 30 tahun ke atas terutama jika mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung, Diabetes Mellitus, obesiti dan disahkan mengalami Metabolic Syndrome.
Buat pengetahuan, paras kolesterol dalam badan boleh diketahui dengan pemeriksaan darah yang dinamakan Fasting Lipid Profile.
Seseorang yang akan menjalani ujian darah ini tidak boleh makan selama enam sehingga lapan jam sebelum ujian darah.
Ujian Fasting Lipid Profile merangkumi empat perkara:
i. Paras kolestrol
ii. LDL (Low Density Lipoprotein)
iii. HDL (High Density Lipoprotein)
iv. Triglyceride
Kolesterol diperlukan dalam tubuh dalam penghasilan hormon dan penghasilan hempedu untuk pencernaan. Cuma jika ia berlebihan menyebabkan mudarat.
Kolesterol memerlukan agen pengangkutan untuk beredar dalam darah. Inilah peranan yang dimainkan oleh HDL dan LDL.
Kombinasi LDL - kolesterol adalah tidak baik kerana ia menghasilkan atherosclerosis iaitu sumbatan plak lemak pada saluran koronari lantas menyebabkan aliran yang tidak sempurna menyebabkan sakit dada.
Kombinasi HDL - kolesterol pula adalah baik kerana ia pergi ke hati untuk dikumuhkan.
Memang agak sukar dalam kehidupan seharian kita untuk mengelakkan makanan yang boleh meningkatkan kolesterol di dalam badan.
Makanan yang mengandungi lemak tepu seperti mentega dan daging memang enak dimakan. Makanan proses seperti sosej, nuget, makanan bergoreng dan banyak makanan segera mengandungi lemak trans yang memang meningkatkan paras kolesterol tubuh.
Kuning telur memang kaya kolesterol. Namun begitu, kajian terbaharu mendapati ia tidak menaikkan paras kolesterol secara langsung kerana badan kita tidak dapat memproses kolesterol di dalam telur.
Maka, bagaimanakah kita hendak memastikan paras kolesterol dalam tubuh kita normal? Apakah yang perlu dilakukan agar paras LDL kekal rendah manakala HDL lebih tinggi?
Berikut adalah beberapa cara untuk melakukannya selain daripada menghindari pengambilan lemak tepu dan lemak trans:
i. Mengambil makanan yang mengandungi beta glucan seperti oat. Saranannya adalah tiga sehingga enam sudu oat sehari.
ii. Makan makanan yang mengandungi plant sterols. Ia boleh didapati di dalam susu tertentu dan membantu kolesterol keluar melalui najis.
iii. Mengambil produk soya seperti tauhu dan tempe.
iv. Mengambil makanan kekacang seperti almond dan nut yang mengandungi lemak baik.
v. Aktif bersukan akan meninggikan paras HDL yang baik.
vi. Berhenti merokok kerana merokok mengurangkan HDL yang kita perlukan.
Namun begitu, jika paras kolesterol terlalu tinggi dan paras LDL juga tinggi, rawatan menggunakan ubat-ubat statin mungkin diperlukan.
Ini penting kerana kombinasi inilah mungkin menghasilkan atherosclerosis pencetus serangan jantung. Sila dapatkan konsultasi daripada doktor di klinik.
Akhir kalam, memastikan paras kolesterol dalam tubuh berada pada paras normal perlu diberi perhatian selari dengan faktor-faktor risiko serangan jantung yang lain.
Melakukannya agak sukar kerana ia melibatkan perubahan tabiat pemilihan pemakanan seharian kita.
Namun begitu, pilihlah sihat dan jadikanlah ia azam kita untuk tahun 2020 nanti.
Dr Sazwan Reezal Shamsuddin adalah ahli Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMy). Beliau boleh diikuti di Twitter melalui @drwaque untuk membaca informasi-informasi kesihatan.
Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#angin ahmar
#darah tinggi
#diabetes
#Institute for Public Health National Health and Morbidity Surve
#kencing manis
#kolesterol
#serangan jantung
#stroke