Paras Empangan Air Itam meningkat lepasi paras amaran

Bernama
Jun 23, 2023 22:07 MYT
Setakat 8 Mei lepas, Empangan Air Itam merekodkan paras 41.5 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pada 48.1 peratus. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Empangan Air Itam, di sini yang sebelum ini mengalami penurunan kapasiti efektif susulan cuaca panas, telah menunjukkan peningkatan air dan melepasi paras amaran dengan catatan 52 peratus ketika ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sebelum ini Empangan Air Itam juga pernah berada pada tahap amaran paras kapasiti efektif 40 peratus dan cuma mampu bertahan 40 hari.
"Saya menerima statistik empangan setiap hari dan berdasarkan pemantauan dijalankan simpanan di Empangan Air Itam semakin meningkat dan melepasi paras amaran.
"Sebelum ini, memang ia pernah berada pada paras kapasiti amaran tahap dua (40 peratus) tetapi belum capai tahap kritikal lagi. Sekarang boleh dikatakan telah melepasi tahap amaran satu dan tidak lagi merah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) 2023 di sini hari ini.
Chow berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan akhbar Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam, yang memaklumkan lapan daripada 43 empangan utama di lima negeri membabitkan Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak berada pada paras amaran.
Chow berkata kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang berada di bawah paras 50 peratus kerana ia empangan yang besar dan mengambil lebih masa untuk penuh.
Katanya, kapasiti efektif Empangan Mengkuang pula parasnya 88 peratus iaitu tidak naik atau turun kerana ia adalah empangan simpanan iaitu pada hari biasa air tidak akan dilepaskan untuk rawatan dan hanya digunakan untuk berdepan kecemasan sahaja.
"Kita tahu Empangan Air Itam adalah lapan kali lebih kecil berbanding Empangan Teluk Bahang, sebab itu ia ambil lebih masa. Empangan Air Itam memang bukan satu ukuran yang tepat namun pada saya kalau Air Itam pun kita tidak mampu kekalkan pada paras baik maka pada keseluruhannya tidak normal," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan simpanan Empangan Air Itam hanya mampu bertahan untuk 40 hari manakala Empangan Teluk Bahang pula selama 146 hari, susulan cuaca panas melanda negara ketika ini.
Setakat 8 Mei lepas, Empangan Air Itam merekodkan paras 41.5 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pada 48.1 peratus.
Susulan penurunan paras Empangan Air Itam dan Teluk Bahang itu, kerajaan negeri memohon bantuan menjalankan operasi pembenihan awan bagi mencetuskan hujan di kawasan tadahan air berkenaan.
Pada 12 Jun lepas, operasi kedua pembenihan awan di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam dijalankan, sebulan selepas operasi pertama.
-- BERNAMA
#cuaca panas #Empangan Air Itam #kawasan tadahan air #pembenihan awan
;