Paras air Sungai Pendang meningkat: Sediakan dokumen penting, pindahkan barang ke tempat tinggi
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 4, 2022 21:54 MYT
Ogos 4, 2022 21:54 MYT
PENDANG: Penduduk di daerah Pendang diminta supaya menyimpan dokumen penting dan mengalihkan barangan ke tempat tinggi berikutan paras air Sungai Pendang telah melepasi amaran.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, sehingga jam 8 malam tadi bacaan air Sungai Pendang menunjukkan paras amaran 2.52 meter, iaitu melebihi paras normal 2.30 meter.
“Hujan berterusan selama dua hari telah menyebabkan paras air sungai meningkat dan kita bimbang ia akan melimpah memasuki rumah penduduk.
“Menerusi pemantauan anggota, hanya dua rumah penduduk di Kilang Taugeh dinaiki air.
“Namun penghuninya tidak dipindahkan kerana tinggal di tingkat atas rumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, ketika ini pemantauan masih dilakukan di empat kampung berhampiran Sungai Pendang bagi membantu penduduk sekiranya banjir berlaku.
"Kampung yang berisiko dilanda banjir adalah Kampung Seberang Pendang, Kampung Banggol Kambing, Kilang Taugeh dan Belakang Balai Bomba,” ujarnya.
Yuslina memaklumkan, anggota APM kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya hujan lebat turun lebih dua jam berlakunya banjir.