Paras air sepanjang LDP, berhampiran IOI Puchong naik lebih 3 meter

Umavathi Ramayah
Disember 16, 2023 21:37 MYT
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan amaran awal banjir di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran pusat beli belah IOI Mall Puchong. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan amaran awal banjir di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran pusat beli belah IOI Mall Puchong.
Menerusi kemaskini di laman Sistem Pemantauan Aras Air MBSJ, setakat pukul 9.25 malam, paras air di kawasan terbabit merekodkan ketinggian 3.06 meter.
Sementara itu, stesen empat di pesimpangan Persiaran Kewajiban dan Perpaduan, USJ13 pula menunjukkan amaran kuning dengan paras air meningkat kepada 1.6 meter.
Kedua-dua lokasi itu menunjukkan tahap berjaga-jaga dan amaran.
Sementara itu, Unit Pengurusan Bencana MBSJ juga telah mengeluarkan amaran tahap tiga atau bahaya di kawasan IOI Puchong sekitar pukul 6.45 petang.
IOI Mall Puchong ditenggelami banjir
Menerusi notis yang dikeluarkan, Unit Pengurusan Bencana MBSJ telah meminta semua agensi terlibat untuk membuat persediaan bantuan.
Notis itu turut meminta semua pengguna jalan raya supaya mengelak daripada menggunakan laluan tersebut.
Pengguna juga dinasihatkan untuk merancang dan mencari laluan alternatif bagi mengelak kawasan tersebut.
Pada masa sama, penduduk berhampiran kawasan terkesan itu diminta mengambil langkah berjaga-jaga termasuk bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.
#banjir #banjir kilat #MBSJ #paras air
;