Paras air laut cetek, perjalanan feri Langkawi dibatalkan satu waktu

Salim Aziz
Februari 13, 2019 16:07 MYT
Pembatalan itu dibuat selepas pihak pengurusan menerima maklumat berhubung paras air laut dari Jabatan Laut Malaysia. - Gambar hiasan
Jadual waktu perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi pada pagi 21 hingga 23 Februari ini dibatalkan berikutan paras air laut yang cetek di laluan keluar dan masuk feri.
Pengurus operasi Ferry Line Venture, Baharin Baharum dalam satu kenyataan memaklumkan, pembatalan itu membabitkan satu waktu sahaja.
Menurut Baharin, bagi perjalanan dari jeti Kuala Perlis ke Pulau Langkawi pada 21 Februari, waktu perjalanan yang dibatalkan adalah jam 8.30 pagi.
Pada 22 dan 23 Februari, waktu perjalanan yang dibatalkan pada 9.30 pagi, manakala bagi perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis, semua perjalanan feri pada jam 7.30 pagi dibatalkan, sepanjang tempoh tiga hari berkenaan.
Bagaimanapun, waktu perjalanan lain masih diteruskan seperti biasa.
Kata Baharin, pembatalan itu dibuat selepas pihak pengurusan menerima maklumat berhubung paras air laut dari Jabatan Laut Malaysia dan pihaknya memohon maaf atas kesulitan itu.
#bot #Jabatan Laut Malaysia #jeti kuala perlis #Langkawi #penumpang
;