Paras air Empangan Kenyir terkawal - TNB
Bernama
November 8, 2018 17:23 MYT
November 8, 2018 17:23 MYT
Paras air di Stesen Jana Elektrik Sultan Mahmud, Kenyir, ketika ini dalam keadaan terkawal dan tidak berbahaya, kata Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mustapha Kamal Yaacob.
Beliau berkata TNB sentiasa memantau paras air di Empangan Kenyir dan siren amaran akan dibunyikan sekiranya berlaku peningkatan pada paras amaran dan bahaya.
"Dalam tempoh lebih 30 tahun Empangan Kenyir dibina, paras air paling tinggi pernah dicatatkan ialah 148 meter iaitu pada 2014 ketika banjir melanda seluruh negara. Paras ini masih di bawah paras amaran iaitu 150 meter manakala paras bahaya pula 153 meter.
"Jadi orang ramai tidak perlu risau dan percaya jika ada khabar angin yang tersebar mengenai banjir dan isu keselamatan Empangan Kenyir," katanya selepas menghadiri Majlis Penutup Latihan Amal Simulasi Keselamatan Empangan Kenyir 2018, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sinim hari ini.
Seramai 523 penduduk dari 10 buah kampung yang berada berhampiran Empangan Kenyir menyertai latihan itu yang dilaksanakan setiap tahun sejak 2016.
EMPANGAN-TNB 2 (AKHIR) KUALA BERANG
Antara kampung terlibat termasuk Kampung Dura, Kampung Baung, Kampung Kuala Pueh, Kampung Gaung dan empat buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Pauh, SK Kuala Dura, SK Padang Setengga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagor.
Mengulas lanjut, Mustapha Kamal berkata selain pemantauan paras air, pemeriksaan secara berkala juga dijalankan bagi memastikan empangan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik kerana ia membabitkan isu keselamatan orang ramai.
"Kemungkinan untuk berlaku perkara-perkara yang tidak diingini adalah terlalu kecil kerana pemeriksaan secara mingguan, bulanan dan setiap 10 tahun sekali kita akan panggil pakar dari luar negara untuk buat pemeriksaan.
"Selain itu, kita juga ada pelbagai alatan untuk mengukur bermacam-macam perkara yang boleh menggugat ketidakstabilan pada empangan seperti gegaran, pergerakan empangan dan sebagainya," katanya.
Tasik Kenyir yang berkeluasan 370 kilometer persegi itu mula dibina pada tahun 1978 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 1985 manakala kawasan tadahannya adalah seluas 1,260 kilometer persegi.
-- BERNAMA