Paras air dua empangan di Pulau Pinang kritikal

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 15, 2020 22:43 MYT
Paras air di dua Empangan utama di Pulau Pinang iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang berada jauh lebih rendah daripada kapasiti efektif biasa disebabkan oleh musim kemarau yang melanda negeri ini ketika tinjauan di Empangan Teluk Bahang
Paras air mentah di dua empangan utama di Pulau Pinang kini berada pada paras kritikal ekoran musim kemarau yang melanda.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa, berkata simpanan air di Empangan Air Itam kini berada pada tahap 62 peratus sementara Empangan Teluk Bahang 39.5 peratus.
Jumlah hujan yang rendah serta perubahan iklim adalah sebab utama penurunan dramatik di dua empangan itu dan keadaan ini dijangka berlarutan hingga akhir Mac ini.
“Kapasiti efektif dua empangan utama di Pulau Pinang jauh lebih rendah daripada biasa disebabkan oleh jumlah hujan yang rendah tahun lepas.
“Sehingga semalam kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang adalah seperti berikut: Empangan Air Itam, 62 peratus, Empangan Teluk Bahang 39.5 peratus,” katanya.
Menurut rekod jumlah hujan di Empangan Air Itam antara September dan Disember lalu adalah 701 milimeter atau 44.5 peratus berbanding purata 1,732 milimeter sepanjang tiga tahun sebelum itu.
Manakala jumlah hujan di Empangan Teluk Bahang direkodkan sebanyak 1,732 milimeter iaitu bersamaan 55.9 peratus bagi tempoh sama.
Pihak PBAPP juga telah mengambil langkah mengoptimumkan pengeluaran air terawat di loji rawatan air sungai dua bagi memenuhi permintaan air sepanjang musim perayaan.
Sehubungan itu, pbapp minta kerjasama semua pengguna untuk menggunakan air secara berhemah.
#empangan #Empangan Air Itam #Empangan Teluk Bahang #empangan utama di Pulau Pinang #Jaseni Maidinsa #musim kemarau #paras kritikal #PBAPP #Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang #pulau pinang
;