Paras air di semua empangan terkawal - Mahdzir
Bernama
Mac 9, 2015 18:19 MYT
Mac 9, 2015 18:19 MYT
Paras air di semua empangan berada di tahap terkawal walaupun negara kini berhadapan dengan musim panas, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Katanya paras air di empangan Sungai Selangor contohnya adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
"Jika pada Mac tahun lalu empangan Sungai Selangor mempunyai paras air lebih kurang 40 peratus, namun bulan ini empangan tersebut mencatatkan paras air sebanyak 74 peratus," katanya kepada media selepas merasmikan acara balloting kategori solar fotovolta (PV) bukan indidividu dengan kapasiti kurang dari 425kW di sini hari ini.
Balloting itu untuk memilih pemohon yang layak dan berminat terhadap kuota lesen tenaga boleh baharu.
Ditanya mengenai gangguan bekalan air di sesetengah tempat, Mahdzir berkata gangguan tersebut berpunca daripada masalah yang berlaku di loji bekalan air termasuk pencemaran ammonia.
Proses balloting hari ini membabitkan tiga kategori kapasiti iaitu sehingga 72kW; melebihi 72kW sehingga 180kW dan melebihi 180kW sehingga 425kW serta permohonan bagi Sabah yang mana tarif galakan telah diperkenalkan pada 2014.