Paras air di empangan Johor melepasi tahap kritikal

Astro Awani
Julai 2, 2015 16:23 MYT
Dua daripada tujuh empangan yang membekalkan keperluan air bersih di Johor dikenal pasti melepasi paras kritikal. - Foto Bernama
Dua daripada tujuh empangan yang membekalkan keperluan air bersih di Johor dikenal pasti melepasi paras kritikal.
Empangan Sungai Lebam di Kota Tinggi dan Empangan Sungai Layang di Masai masing-masing dikatakan mencatatkan penyusutan 0.03 meter sehari.
Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd, (SAJ), Jamaluddin Jamal memberitahu tahap air di Empangan Sungai Lebam berada pada paras 10.23 meter, iaitu di bawah paras kritikal 12.27 meter.
Manakala bacaan paras air di Empangan Sungai Layang pula ialah 20.65 meter di bawah paras kritikal 23.50 meter.
"Selain Empangan Sungai Lebam, kita juga bimbang terhadap Empangan Upper Layang yang membekalkan bekalan air mentah kepada Loji Rawatan Air Sultan Iskandar dan ia menyusut dengan bacaan semalam ialah 20.65 meter dengan paras kritikalnya 23.50 meter dan ia juga merosot 0.03 meter sehari,” kata Jamaluddin.
Penyusutan paras sungai turut berlaku di Sungai Sembrong Kiri di Kluang pada paras 0.42 meter berbanding paras normal 1 meter yang menyebabkan kekurangan bekalan air di Loji Rawatan Sembrong Timur.
Jika keadaan cuaca panas berlarutan sehingga tempoh sebulan lagi, catuan air akan dibuat melibatkan penduduk di sekitar Pengerang, Gugusan Felda Air Tawar, Pasir Gudang, Johor Bahru dan Bandar Kluang.
Bagi pengguna air, Nur Attyka Kamarul, dia berharap pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.
“Harap tidak ada sangkut-sangkut namun kalau betul empangan kering harap pihak berkaitan dapat mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini sebab kita pun nak raya jadi banyak hendak guna air lagi untuk keperluan.”
Selain itu, pengguna air Tuan Bustaman juga mengharapkan tiada lagi bekalan air yang terputus selepas ini.
"Setakat ini tiada lagi bekalan air terputus dan kalau gangguan itu setakat ini SAJ boleh mengatasinya, jadi tiada masalah. Dengan keadaan cuaca panas ni cuma berharap pengguna jimatkan air lah sebab sekarang ini penjimatan air amat penting lah, nak dekat raya ini kan lagi banyak kita pakai air," katanya lagi.
#empangan sungai #empangan sungai lebam #SAJ #syarikat air johor holdings
;