Paras air di Empangan Air Itam menyusut kepada 66.7 peratus
Bernama
Januari 6, 2024 17:01 MYT
Januari 6, 2024 17:01 MYT
BATU KAWAN: Paras air di Empangan Air Itam menunjukkan penurunan kepada 66.7 peratus namun masih mencukupi sehingga 66 hari termasuk ketika tempoh empat hari gangguan bekalan air berjadual di Pulau Pinang bermula 10 Jan ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penurunan itu berikutan insiden paip bocor di Sungai Perai, Butterworth baru-baru ini yang memerlukan pengeluaran air terawat lebih berbanding biasa dari empangan berkenaan.
"Paras air Empangan Air Itam ketika ini 66.7 peratus dan saya dimaklumkan insiden Sungai Perai menyebabkan ia menurun berbanding paras air sebelum ini 83 peratus, kerana sebelum ini pengeluaran air terawat sekitar 22 juta liter sehari (MLD).
"Namun semasa kejadian paip bocor, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu menambah pengeluaran air terawat daripada Empangan Air Itam iaitu 40 MLD susulan bekalan terganggu di beberapa kawasan ketika itu untuk disalurkan kepada mereka terputus bekalan air," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Suite Perniagaan Capstone di sini hari ini.
Menurut Chow, peratusan air di Empangan Air Itam dijangka terus menyusut kepada 57 peratus pada minggu akan datang, iaitu ketika gangguan bekalan air berjadual kerana PBAPP perlu mengeluarkan lebih banyak air terawat dari situ untuk pengagihan kepada penduduk terjejas sehingga 15 Jan.
Sementara itu, Chow berkata setakat ini kerajaan negeri tidak bercadang untuk memohon operasi pembenihan awan kerana ia belum sampai paras kritikal.
"Bukan senang untuk buat pembenihan awan ia perlu mengambil kira banyak faktor dan saya rasa ia belum sampai paras kritikal. Saya minta penduduk di negeri ini terus berjimat air terutama menjelang Tahun Baharu Cina yang selalunya musim panas ketika itu," katanya.
Sebanyak 590,000 pengguna air termasuk bukan domestik dijangka terkesan dengan ketiadaan bekalan susulan penutupan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian dua unit injap 1,200 milimeter (mm) yang rosak.
PBAPP memaklumkan gangguan berjadual selama 98 jam itu bermula 6 pagi 10 Jan hingga 6 pagi 14 Jan, yang turut membabitkan kerja sampingan lain di 22 lokasi seluruh Pulau Pinang.
-- BERNAMA