Paras air di dua empangan utama Pulau Pinang masih rendah

Bernama
Ogos 20, 2024 17:30 MYT
Kapasiti efektif yang direkodkan di Empangan Air Itam (foto) adalah 27.6 peratus manakala Empangan Teluk Bahang 25.2 peratus. -Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Stok simpanan semasa air mentah di dua empangan utama Pulau Pinang masih berada di paras rendah susulan cuaca kering luar biasa yang berlaku sejak suku terakhir tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan berkata setakat semalam kapasiti efektif yang direkodkan di Empangan Air Itam adalah 27.6 peratus manakala Empangan Teluk Bahang 25.2 peratus.
"Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan empangan di Pulau Pinang tetapi turut menjejaskan empangan utama di negeri jiran iaitu Kedah dan Perak dengan empangan Muda dan Beris di Kedah, masing-masing mencatatkan kapasiti efektif 7.8 peratus dan 53.9 peratus setakat semalam, manakala Empangan Bukit Merah, di Perak, 33 peratus.
"Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai bagaimanapun tidak terjejas dengan situasi tersebut memandangan empangan itu telah diisi semula dengan air dari Sungai Kulim yang dipam masuk ke situ ketika musim hujan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu Pathmanathan berkata air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang berada pada paras 3.06 meter (m) melebihi paras selamat iaitu 2.0m dan PBAPP mengabstrak air mentah dari sungai tersebut setiap hari untuk digunakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU).
Beliau berkata LRA Sungai Dua mengeluarkan kira-kira 1,026 juta liter sehari (JLH) air terawat dengan kawasan perkhidmatannya merangkumi sebahagian besar di SPU, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) serta merangkumi kawasan berpenduduk tinggi di Daerah Barat Daya (DBD) dan beberapa kawasan di Daerah Timur Laut (DTL) di bahagian pulau, termasuk Zon Perindustrian Bebas (FTZ) Bayan Lepas melibatkan 465,000 pengguna.
Pathmanathan berkata PBAPP telah mengambil beberapa langkah mitigasi untuk mempertahankan baki rizab empangan menerusi Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024), meminimumkan pengeluaran dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang tanpa menyebabkan masalah air.
Di samping itu beliau berkata PBAPP turut meneroka pengambilan air daripada dua Kawasan Tadahan Hujan (KTA) tambahan iaitu KTA Batu Ferringhi dan KTA Sungai Pinang untuk mengisi semula Empangan Teluk Bahang apabila hujan.
Beliau berkata pihaknya turut mengambil tindakan mengawal pam dan injap di kawasan strategik bagi memastikan bekalan air mencukupi pada waktu puncak dan meminimumkan bekalan pada waktu luar puncak serta bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di samping memohon kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menjalankan operasi pembenihan awan.
Pathmanathan sekali lagi meminta kerjasama pengguna supaya terus menjimatkan penggunaan air harian bagi mengelakkan masalah bekalan air.
-- BERNAMA
#Stok simpanan semasa air mentah #loji rawatan air #dua empangan utama Pulau Pinang #cuaca kering luar biasa