Parah ditikam rakan sekerja gara-gara lewat masuk kerja

Dewi Nur Harasha Alias
November 19, 2019 20:40 MYT
Suspek dikatakan sudah beberapa kali membuat teguran terhadap mangsa namun tidak diendahkan menyebabkan suspek hilang sabar. - Foto ihsan pembaca/media sosial
Gara-gara didakwa tidak menepati masa sewaktu menjalankan tugas, seorang lelaki parah ditikam rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah syarikat penghantaran barang di Balik Pulau, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Md Zain memaklumkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 24 tahun itu ditikam di bahagian dada, rusuk kiri, dagu dan tangan kanan oleh suspek yang juga ketua kumpulan kerjanya.
Jafri berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian selepas tidak berpuas hati dan berang dengan mangsa serta beberapa pekerja lain yang didakwa tidak menepati masa ketika menjalankan tugas.
Suspek dikatakan sudah beberapa kali membuat teguran terhadap mangsa namun tidak diendahkan menyebabkan suspek hilang sabar.
"Kejadian itu berlaku ketika mangsa baru tiba untuk masuk bekerja dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka kerana suspek marahkan lelaki tersebut ekoran datang lambat sebelum dia mengambil pisau dan menikam mangsa," katanya.
Jelasnya, suspek berusia 27 tahun itu dikatakan berdendam dengan mangsa dan beberapa lagi pekerja di situ kerana terpaksa menjalankan kerja sendirian ketika lori tiba untuk mengambil barangan penghantaran.
Jafri berkata suspek yang sudah dua tahun bekerja di syarikat tersebut, melarikan diri selepas menikam mangsa.
Menurutnya mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan kritikal serta masih belum sedar.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.
Jafri berkata, suspek telah ditahan polis di Seberang Perai pada petang Selasa dan kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.
Katanya, berdasarkan siasatan suspek dan mangsa mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
Sementara itu, Jafri berkata pihaknya turut menerima satu laporan polis daripada rakan sekerja mangsa berusia 20 tahun yang mendakwa diugut suspek sama yang mahu menetak lelaki itu.
"Suspek menelefon lelaki tersebut dan mengugut akan menetaknya jika dia membuat laporan polis menerusi panggilan telefon berkenaan," katanya.
#ditikam rakan sekerja #diugut #Ketua Polis Daerah Barat Daya #Seberang Perai #Seksyen 326 Kanun Keseksaan
;