Papsma terus usaha halang ejen haram urus pengambilan pekerja asing
Astro Awani
Januari 12, 2022 22:25 MYT
Januari 12, 2022 22:25 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) akan terus berusaha untuk menghalang tindakan ejen-ejen haram mengutip wang daripada majikan tempatan melibatkan pekerja asing.
Menurut Setiausaha Agungnya, Dr. N. Sukumaran, ejen terbabit tidak akan bertanggungjawab dan menghilangkan diri apabila timbul sebarang masalah ketika atau selepas proses pengambilan pekerja.
Justeru, katanya Papsma menyokong langkah Kementerian Sumber Manusia untuk menghapuskan semua ejen haram dan membenarkan mereka yang berdaftar serta berlesen sahaja menjalankan aktiviti berkaitan pengambilan pekerja asing.
"Langkah itu membolehkan semua ejen pekerja asing berdaftar untuk menjalankan perniagaan secara beretika dan profesional, sekali gus mengekalkan imej baik negara berkaitan proses pengambilan golongan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada masa sama, jelasnya, Papsma turut menyokong tindakan kementerian untuk membuka peluang kepada negara-negara lain terutamanya Bangladesh bagi pekerja asing ke sini.
Seperti yang dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, ia bakal menjadikan industri bersifat lebih kompetitif dan tidak dimonopoli negara-negara tertentu sahaja.
Ia termasuk perjanjian yang ditandatangani bersama rakan sejawatan di Indonesia sebelum minggu kedua Februari 2022 yang akan membolehkan pengambilan pembantu rumah tiba dari negara itu sebelum akhir Mac tahun ini.
Dalam pada itu, beliau kesal dengan laporan-laporan berita tidak benar yang memberi gambaran negatif terhadap proses pengambilan pekerja asing terutama dari Indonesia.
Sukumaran berkata, laporan-laporan berita yang mengandungi maklumat tidak benar tersebut berkemungkinan dihasilkan penulis bebas yang memperalatkan media.
Justeru, pihaknya akan terus menjalin kerjasama dengan kementerian bagi menghalang penyebaran maklumat palsu berkenaan.
#pekerja asing
#Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia
#Kementerian Sumber Manusia