PAPSMA gesa kerajaan siasat ejen pengambilan pekerja asing dari luar negara
Astro Awani
Jun 14, 2022 14:29 MYT
Jun 14, 2022 14:29 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyiasat ejen pengambilan pekerja asing terutamanya dari luar negara yang menawarkan majikan kaedah lebih mudah dan kelulusan lebih cepat berbanding prosedur biasa.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr Sukumaran Nair mendakwa, tawaran sebegitu membuatkan ada majikan terpedaya sedangkan prosedur daripada kerajaan biasanya mengambil masa.
“Kementerian Sumber Manusia seharusnya melibatkan ejen dari Malaysia untuk terlibat dengan pengambilan pekerja asing di Malaysia, bukannya ejen dari luar negara.
“Ejen dari Malaysia mempunyai lesen atau kuasa untuk terlibat dalam pengambilan pekerja asing tetapi ejen dari luar tiada lesen atau kuasa sebegitu.
“Jika kita (ejen Malaysia) tidak boleh melakukan perkara itu (uruskan pengambilan pekerja asing) di luar negara, mengapa ejen luar boleh pula boleh menyediakan perkhidmatan pengambilan pekerja asing,” soalnya menerusi kenyataan media pada Selasa.
Tambah beliau, terdapat beberapa ahli PAPSMA mendakwa pelanggan mereka ‘dicuri’ ejen dari Bangladesh dan Nepal dengan menjanjikan kelulusan lebih cepat yang luar daripada kebiasaan diamalkan kementerian.
“Ramai pelanggan kami beralih kepada mereka kerana tawaran sebegitu.
“Sebab itu kami minta kerajaan siasat perbezaan itu kerana ia bercanggah dengan prosedur biasa diamalkan kementerian seperti yang kami faham,” ujarnya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, proses pengambilan pekerja asing membabitkan tiga negara iaitu Indonesia, Bangladesh dan Kemboja akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, ketika ini kementerian berada pada proses terakhir membabitkan prosedur pengambilan, proses teknikal dan pemeteraian memorandum dengan ketiga-tiga negara itu.
Terbaharu, beliau ke Dhaka, Bangladesh bagi membincangkan perkara berkenaan dengan rakan sejawatan dan Perdana Menteri negara itu awal bulan ini.