PAPSMA beri jaminan kemasukan pekerja asing Bangladesh ikut prosedur

Astro Awani
Disember 20, 2021 17:59 MYT
Semalam, kerajaan Malaysia dan Bangladesh menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pengambilan pekerja Bangladesh untuk berkhidmat di negara ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) memberi jaminan akan memastikan proses pengambilan dan kemasukan pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini mengikut peraturan dan ketetapan.
Ia selari dengan keputusan Kementerian Sumber Manusia yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pekerja Bangladesh untuk berkhidmat di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Sukumaran Nair berkata, pihaknya akan melaksanakan segala proses dengan mematuhi garis panduan dan prosedur yang ditetapkan demi memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan pantas serta tanpa masalah.
“Kami gembira kerana Kementerian Sumber Manusia mempercayai serta memberi mandat kepada PAPSMA untuk sama-sama terlibat dalam proses pengambilan pekerja Bangladesh dalam pelbagai sektor di negara ini.
“Terima kasih kerana menerima jaminan kami dalam memastikan PAPSMA sebagai badan pengantara proses pengambilan pekerja asing di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan Malaysia dan Bangladesh menandatangani MoU pengambilan pekerja Bangladesh untuk berkhidmat di negara ini, berkuat kuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026.
MoU itu ditandatangani Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmed di ibu negara.
Menurut Saravanan, MoU tersebut menggariskan tanggungjawab kedua-dua negara termasuk berkaitan majikan Malaysia dan pekerja Bangladesh serta tanggungjawab agensi-agensi pekerjaan swasta di kedua-dua negara.
Pelaksanaan MoU itu akan dikawal selia oleh satu Kumpulan Kerja Bersama (JWG) yang dianggotai oleh kedua-dua negara.
#warga asing #PAPSMA #Kementerian Sumber Manusia #Bangladesh
;