PAPSMA bantah monopoli agensi pekerjaan bagi eksploitasi pekerja asing
Astro Awani
Januari 26, 2023 05:40 MYT
Januari 26, 2023 05:40 MYT
KUALA LUMPUR : Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) membantah monopoli agensi melalui sistem digital sedia ada dengan menggunakan sindiket yang terdiri daripada agensi pekerjaan negara tertentu bagi mengeksploitasi kemasukan pekerja asing khususnya dari Bangladesh.
Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair berkata, walaupun ribuan kelulusan telah diberikan, namun jumlah pekerja yang tiba untuk bekerja di dalam negara adalah begitu rendah.
"Kerajaan diseru mengambil alih operasi sistem digital dan memperincikan struktur proses pengambilan pekerja asing dengan serta-merta. Kami menyeru kerajaan manamatkan polisi merekrut segolongan agensi pekerja asing dari negara sumber tersebut kerana tidak dijalankan dengan cara yang teratur dan mengikut lunas-lunas polisi kerajaan yang sedia ada.
"Oleh yang demikian mungkin unsur-unsur rasuah dikelihatan berlaku dalam pengambilan pekerja asing di Malaysia dengan secara ketara.
"Kerajaan baharu kita mengambil berat tentang gejala rasuah dan monopoli golongan tertentu untuk mengeksploitasikan pekerja asing yang miskin dan terhindar dari negara yang dibenarkan oleh Kerajaan, maka kami menyeru sistem yang sedia ada dikaji dan distrukturkan semula secara terperinci mengikut undang-undang yang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Justeru, PAPSMA menyeru kementerian berkaitan terutama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia agar mengambil berat mengenai etika dan polisi Kerajaan dalam pengrekrutan pekerja asing.
Dalam masa sama, kementerian berkenaan perlu menghindarkan mana-mana negara asing yang terlibat tidak menggangu proses dan protokol negara yang kini berada di Tahap Ketiga di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam sektor pengambilan pekerja asing.
"PAPSMA akan menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan bagi membendung sebarang aktiviti yang tidak diigini dalam proses pengambilan pekerja asing ke negara ini dan sekaligus menamatkan segala proses monopli dan eksploitsasi pekerja asing dari mana-mana negara yang dibenarkan membekal kepada majikan di Malaysia.
"PAPSMA juga menyeru agar kementerian yang terlibat mengadakan sesi dialog dan perjumpaan agar berita dan infomasi sebenarnya dapat diketahui oleh pucuk pimpinan Kementerian yang baharu dilantik di bawah kerajaan perpaduan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
PAPSMA juga menyokong perjumpaan dua hala yang akan datang di antara Malaysia dan negara-negara pembekal untuk mengadakan sesi-sesi perjumpaan bagi menyelesaikan masalah yang telah membantutkan dan melewatkan proses kemasukan pekerja asing ke negara.
"Sektor pekerja asing memang terkenal dengan unsur negatif yang tidak diigini sekian lama maka Kerajaan harus mencari jalan untuk memperbaiki negara dalam status ILO Global yang sedia ada bagi mempertingkatkan nama baik dan prestasi negara di mata dunia di bawah kategori pengambilan pekerja migran pada musim ini dan pada masa akan datang," tambahnya.