Papan tanda: Tindakan penguatkuasaan untuk pastikan peniaga patuhi peraturan - DBKL
Bernama
November 25, 2024 20:52 MYT
November 25, 2024 20:52 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda yang dijalankan di sekitar ibu negara baru-baru ini bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi undang-undang kecil yang ditetapkan.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan ia termasuk Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang antara lain mengkehendaki semua iklan dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Berdasarkan undang-undang kecil itu, huruf bagi perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan bersaiz lebih besar daripada huruf atau tulisan perkataan bahasa lain untuk papan tanda iklan premis perniagaan.
"Bagaimanapun jika nama sesuatu firma, persatuan atau syarikat, sebagaimana yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965 atau Akta Pertubuhan 1966, terdiri daripada atau termasuk perkataan yang bukan dalam bahasa kebangsaan, maka tidaklah perlu untuk menterjemahkan perkataan itu ke dalam bahasa kebangsaan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, DBKL juga bertanggungjawab memproses dan meluluskan papan tanda iklan premis perniagaan yang merupakan sebahagian daripada lesen komposit iaitu lesen yang diluluskan bersama lesen premis perniagaan.
"Semua pemilik premis perniagaan hendaklah memastikan pemasangan papan tanda iklan di premis perniagaan, perlu terlebih dahulu memohon lesen sebagaimana diperuntukkan di dalam perenggan 5 (1) Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982.
"Bagi permohonan lesen papan tanda premis ini, pengesahan visual daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah satu daripada dokumen wajib yang perlu diserahkan oleh pemohon kepada DBKL untuk kelulusan," menurut kenyataan itu.
DBKL memaklumkan, sepanjang tahun ini pihaknya dengan kerjasama DBP telah menjalankan operasi di enam lokasi pusat beli-belah dan mengeluarkan 31 notis kesalahan terhadap premis yang menyalahi peraturan.
Antara kesalahan ialah premis mempunyai lesen perniagaan tetapi tidak mempunyai kelulusan lesen iklan papan tanda dan akan dikenakan tindakan kompaun oleh DBKL dengan tindakan menurunkan papan iklan.
"Kesalahan lain ialah premis yang mempunyai lesen perniagaan dan lesen iklan papan tanda tetapi melanggar syarat-syarat iklan iaitu seperti perkataan dalam bahasa kebangsaan perlu lebih besar dari saiz huruf dalam bahasa lain," menurut DBKL.
Semalam, sebuah media dalam talian melaporkan bahawa Persatuan Restoran Cina Malaysia mendakwa perniagaan mereka menghadapi peningkatan kos operasi berikutan tindakan keras berhubung papan tanda oleh DBKL.
-- BERNAMA