Papan tanda tambahan Lebuhraya SUKE akan ditambah baik

Bernama
September 21, 2022 21:52 MYT
GAMBAR FAIL: Keadaan di sekitar Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Fasa Pertama dari persimpangan Cheras-Kajang ke Bukit Antarabangsa. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Papan tanda tambahan di persimpangan bercabang sepanjang Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baharu beroperasi, akan ditambah baik agar tidak mengelirukan pengguna.
Pengendali lebuh raya itu Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan susulan maklum balas yang diterima, pihaknya memutuskan mencabut papan tanda tambahan itu dengan serta merta, dan pihaknya sedang mereka bentuk papan tanda tambahan baharu yang lebih praktikal dan dijangka siap dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Terdahulu tular video di aplikasi TikTok yang memaparkan seorang pengguna menunjukkan papan tanda di satu persimpangan di SUKE yang menurutnya sukar dilihat dan mengelirukan.
PROLINTAS menyebut papan tanda dipasang pada gantri di setiap 250 meter sebelum persimpangan bercabang, dengan papan tanda tambahan dipasang di tengah-tengah cabang simpang sebagai inisiatif yang diambil pihak perunding dilantik dan syarikat.
Menurut kenyataan itu disebabkan kekangan kawasan, saiz papan tanda tambahan yang digunakan adalah lebih kecil berbanding papan tanda sedia ada.
Bagaimanapun menurut PROLINTAS papan tanda yang dipasang di sepanjang Lebuhraya SUKE adalah mengikut piawaian yang ditetapkan dan telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Dalam pada itu PROLINTAS berkata struktur binaan Lebuhraya SUKE adalah selamat dan mengikut piawaian ditetapkan serta menerima kelulusan sewajarnya seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Konsesi, sekali gus menyangkal dakwaan terdapat bahagian lebuh raya yang sudah beroperasi itu tidak selamat untuk digunakan.
-- BERNAMA
#papan tanda #Lenbuhraya SUKE #Sungai Besi-Ulu Kelang #PROLINTAS #persimpangan bercabang
;