Papan tanda maklumat pendaratan pertama Jepun di Tanah Melayu dipacak di LTSIP
Bernama
Disember 12, 2021 18:25 MYT
Disember 12, 2021 18:25 MYT
KOTA BHARU: Sebuah papan tanda maklumat mengenai Perang Dunia Kedua diletakkan di pekarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini hari ini, sempena ulang tahun ke-80 pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu.
Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya Shaharom Ahmad berkata, lapangan terbang itu dipilih sebagai simbolik peristiwa penting yang berlaku di Kelantan dan kawasan pendaratan pertama tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941.
"Ini merupakan papan tanda sejarah pertama di negeri ini membabitkan informasi pertempuran yang berlaku di Asia Pasifik.
"Pihak persatuan juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Malaysia Airports kerana membenarkan papan tanda ini diletakkan di pekarangan lapangan terbang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pemasangan papan tanda itu di LTSIP, di sini, hari ini.
Sejarah | Memperingati pertempuran melawan Jepun di Kelantan
Mengulas lanjut, Shaharom berkata papan tanda itu juga secara tidak langsung dapat menjadi nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri ini.
"Kita berharap papan tanda ini akan memberi impak kepada produk pelancongan di Kelantan selain dapat memberi pendedahan kepada masyarakat dan juga pencinta sejarah," katanya.
-- BERNAMA