Papan tanda Hospital KPJ Ampang Puteri terbakar

Umavathi Ramayah
Mac 7, 2021 09:44 MYT
Papan tanda di tingkat empat bangunan Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri di Jalan Mamanda yang terbakar malam tadi. -Gambar Bomba Selangor
AMPANG JAYA: Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri di Jalan Mamanda berhampiran pusat beli belah Ampang Point di sini gempar seketika apabila papan tanda di tingkat empat bangunan itu terbakar malam tadi.
Penyelia Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Abd Rashid Abd Rahman berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.08 malam.
Setiba di lokasi, beliau mendapati sebuah papan tanda berlampu di luar bangunan itu sedang marak dan mengeluarkan percikan api.
"Namun demikian kejadian itu tidak melibatkan struktur bangunan atau mengakibatkan kecederaan kepada pesakit atau kakitangan hospital itu," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.
Abd Rashid memberitahu api itu berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 24 minit.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada pukul 10.07 malam tadi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kebakaran dikesan di tingkat empat bangunan tersebut.
"Menurut pengawal keselamatan yang bertugas, dia mengambil tindakan awal dengan membuka pintu bilik dan menutup suis papan tanda di mana sistem penggera kebakaran belum dapat buat pengesanan.
"Juga terdapat asap tebal memenuhi ruang bilik tersebut," jelasnya.
Mohamad Farouk berkata berdasarkan pemeriksaan, hanya cermin tingkap di ruang bilik sahaja mempunyai kesan bakar sementara tiada kesan kebakaran ditemui di sudut lain.
Menurutnya, anggaran kerugian masih belum dipastikan lagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.
#kebakaran #papan tanda #KPJ Ampang Puteri #tiada kecederaan #percikan api #Mohamad Farouk Eshak #Abd Rashid Abd Rahman #MERS
;