Papan iklan Perdana Menteri disimbah cat, belum ada laporan polis

Bernama
Jun 7, 2019 23:59 MYT
HISHAMUDDIN: Masih belum ada mana-mana pihak yang membuat laporan.
Polis Jempol masih belum menerima sebarang laporan mengenai sebuah papan iklan yang memaparkan gambar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disimbah cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Muhd Nur Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Bernama berkata, beliau mengesahkan kejadian tersebut berlaku di sebuah selekoh di Felda Palong Tujuh dan Lapan dekat sini.
"Saya ada menerima maklumat berkenaan daripada anggota mengenai isu berkenaan namun masih belum ada mana-mana pihak yang membuat laporan," katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, sebuah portal media (Harian Metro) melaporkan berkenaan insiden ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota PKR.
Ketua Cabang PKR Jempol Karip Mohd Salleh berkata papan iklan yang turut menyalurkan maklumat mengenai pembaharuan hala tuju Felda itu disedari pihaknya ketika melalui selekoh di kawasan berkenaan.
Karip yang juga Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan dipetik sebagai berkata satu laporan polis akan dibuat berhubung isu berkenaan.
Sementara itu Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Muhammad Hilman Idham yang mengecam perbuatan itu berkata ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, yang takut dengan mesej dan inisiatif yang dibawa kerajaan yang semakin diterima.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata pihak itu merasa takut kerana mesej serta inisiatif itu kini mulai mendapat dukungan yang semakin utuh daripada para peneroka Felda.
"Ingin saya tegaskan bahawa objektif billboard yang dinaikkan adalah untuk memberi informasi-informasi baru berhubung usaha proaktif dan gagasan Kerajaan untuk membela nasib peneroka Felda," katanya ketika dihubungi Bernama.
-- BERNAMA
#cat #Felda #laporan polis #Mahathir Mohamad #Merah #Mohamed Azmin Ali #Muhd Nur Hishamuddin Hashim #papan iklan
;