Papan iklan calon BN DUN Pulau Tikus dibakar

Dewi Nur Harasha Alias
April 29, 2018 23:00 MYT
Jason menunjukkan gambar sepanduk kempen dan laporan polis yang dibuat dihadapan sepanduk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dibakar di Jalan Kelawai pada Ahad. - BERNAMA
Kempen hari kedua Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pulau Pinang tercemar dengan dua insiden membakar papan iklan milik calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus, Jason Loo Jieh Sheng hari ini.
Kejadian berlaku di Jalan Gurney dan Jalan Kelawei, di sini, pada petang Sabtu dan awal pagi Ahad.
Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Pulau Pinang, ACP Baharom Abu, berkata pihaknya menerima laporan daripada Jason berhubung sebuah papan iklan miliknya di Jalan Gurney yang didakwa disabotaj apabila terdapat kesan terbakar pada sebatang pokok berhampiran papan iklan berkenaan.
Dalam insiden kedua, sebuah lagi papan iklan milik calon BN itu yang dipasang di Jalan Kelawei berhadapan sebuah kuil Hindu, telah dibakar sepenuhnya.
Susulan itu, Jason membuat dua laporan di Balai Polis Pulau Tikus pada petang Ahad.
Baharom berkata, siasatan di kedua-dua lokasi kejadian mendapati kawasan tersebut tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Jason melahirkan rasa kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang boleh mencetuskan suasana tidak tenteram.
"Jika mereka yang membakar papan iklan saya mengharap saya akan berdiam diri, memang tidak sama sekali. Saya akan terus bersuara untuk rakyat seperti mana saya telah lakukan selama ini, berkaitan pelbagai isu.
"Saya tidak akan dibuli begini, mereka boleh bakar sebanyak mana papan iklan atau pemidang, saya tetap akan bersuara demi rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Baharom berkata polis akan meningkatkan maklumat risikan dan pemantauan di sekitar lokasi kejadian kerana terdapat beberapa lagi papan iklan yang dipasang di sepanjang Jalan Gurney, Jalan Kelawei dan Jalan Burmah.
#Calon BN #calon PRU #Jason Loo Jieh Sheng #MalaysiaMemilih #papan iklan #PRU14 #Pulau Tikus
;