Papan iklan bebas Anwar: Azmin seru polis fokus kes jenayah
Norsiah Mohd Ramli
Mac 22, 2016 20:08 MYT
Mac 22, 2016 20:08 MYT
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menegaskan pihak polis seharusnya memberikan tumpuan dengan kes-kes jenayah dan tidak terbabit dalam tindakan menurunkan papan iklan #BebasAnwar.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata polis sepatutnya lebih mengetahui tugas serta bidang kuasa mereka.
Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai penurunan papan iklan #BebasAnwar di 20 lokasi sekitar Subang dan Rawang.
"Mereka seharusnya mengetahui fungsi dan peranan polis.
"Polis sepatutnya fokus kepada isu-isu jenayah, banyak isu yang memerlukan pemantauan segera," katanya selepas menghadiri upacara pembukaan AEON Mall Shah Alam di Seksyen 13, hari ini.
Turut hadir pada upacara itu adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.
Baginda turut mengadakan lawatan di sekitar AEON ditemani Azmin dan tetamu kehormat lain.
Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Selangor menurunkan papan iklan tersebut kerana memaparkan unsur hasutan.
Menurutnya, papan iklan berkenaan mengelirukan rakyat kerana merujuk Anwar Ibrahim sebagai 'tahanan politik'.