Papagomo mengaku tidak bersalah tuduh kerajaan pro-Israel
Astro Awani
Januari 8, 2024 11:40 MYT
Januari 8, 2024 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan menghasut membabitkan hantaran di Facebook yang mendakwa kerajaan sebagai pro-Israel.
Bagaimanapun, Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali Papagomo, memohon dibicarakan sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azr,41, yang juga bekas Exco Pemuda UMNO, didakwa menyebut kata-kata menghasut di laman Facebook 'Halid Hamidi', jam 1 tengah hari, 8 November lalu, di mana kata-kata berkenaan dilihat oleh seorang lelaki dikenali Hisham Sharudin, 42, di sebuah kondominium di Bukit Bintang.
Kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Mohamad Mustaffa juga memohon syarat tambahan 'gag order' (perintah larangan) untuk mengelak tertuduh memberi komen mengenai kes dan pertuduhan ini.
Bagaimanapun, peguam bela Wan Muhammad Azri, Muhammad Rafique Rashid Ali, memohon jaminan RM3,000 dengan isteri anak guam menjadi penjamin.
"Pekerjaan anak guam secara dalam talian, manakala isteri adalah suri rumah dan ada lima anak masih bersekolah.
"Anak guam memberi kerjasama sepanjang siasatan dan hadir ke mahkamah pagi ini tanpa dipaksa.
"Berhubung 'gag order', ia terlalu umum dan seseorang bebas bersuara mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun tidak menetapkan sebarang syarat tambahan.
Sebutan semula kes pada 5 Februari ini.