Papagomo diperintah bela diri cederakan, hina Syed Saddiq
Sinar Harian
Februari 21, 2023 18:23 MYT
Februari 21, 2023 18:23 MYT
KAJANG: Bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, empat tahun lalu.
Dia yang juga bekas penulis blog, diperintah untuk membela diri atas satu lagi pertuduhan pindaan iaitu menghina bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut.
Majistret, Muhammad Noor Firdaus Rosli membuat keputusan ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Papagomo, 40.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Syed Saddiq pada bahagian leher dan bahu, di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pada jam 11.05 pagi, 16 Februari 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dakwa mengaibkan kehormatan dengan menyebut perkataan ‘kau bodoh’ terhadap mangsa sama di lokasi dan tarikh serupa.
Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, semasa prosiding, Muhammad Noor Firdaus meminda pertuduhan daripada mengaibkan kehormatan kepada menghina.
Pertuduhan baharu kemudiannya dibaca semula kepada tertuduh dan dia mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan pindaan, dia dituduh dengan niat menyebut perkataan kurang sopan dan menghina iaitu ‘kau bodoh’ terhadap Syed Saddiq, di mana keamanan mungkin terganggu, di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda hingga RM100 jika sabit kesalahan.
Papagomo kemudiannya menjawab tidak mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan tersebut.
Prosiding yang bermula 4 November 2019 lalu, telah memanggil 11 saksi pendakwaan termasuk Syed Saddiq selaku saksi keempat.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Nik Saiful Adli Burhan dan Logen Eskander.
Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan kes bela diri bermula 22 dan 23 Mei selain pada 12 serta 13 Jun depan.
Pada 16 Februari 2019, Syed Saddiq membuat laporan polis, mendakwa dicekak dalam satu insiden selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Pada 21 Februari tahun sama, iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan menyifatkan insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham. -- Sinar Harian