Papagomo akan kemuka representasi untuk gugur tuduhan kes menghasut

Bernama
Ogos 21, 2024 14:41 MYT
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Okt ini untuk sebutan kes bagi keputusan representasi. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo, akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri, 41, memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah yang mengendalikan kes bersama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Badiuszaman Ahmad berkata, hari ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi keputusan representasi, namun pihak pendakwaan belum menerima representasi itu daripada peguam.
Menurut Muhammad Rafique, beliau dan seorang lagi peguam iaitu Logen Eskander Abdullah masih belum sempat untuk menyediakan representasi berkenaan.
"Pihak kami akan memasukkan representasi dan memohon agar mahkamah menetapkan 18 Okt ini untuk keputusan representasi," katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Okt ini untuk sebutan kes bagi keputusan representasi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada pukul 12 tengah hari, 29 April lepas.
Pertuduhan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama itu, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#Papagomo #kemuka representasi #gugur tuduhan menghasut #wujudkan kebencian terhadap Yang dipertuan Agong