Papa Gomo 'original' diberkas polis

Nazialita Geynna Maharan
Julai 22, 2015 19:38 MYT
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan. -Gambar fail
Seorang lelaki dipercayai pemilik sebenar blog Papa Gomo yang didakwa menyebarkan berita palsu di laman Facebook sehingga membawa kepada pergaduhan di Plaza Low Yat telah ditahan polis pada pagi Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Goh Kok Liang berkata penahanan suspek berumur 26 tahun itu dibuat di hadapan rumah suspek di Seri Iskandar, Perak.
Menurutnya, siasatan tersebut dibuat dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan bersangkut dengan laporan yang dilakukan di Balai Polis Dang Wangi pada 17 Julai lepas.
"Pihak kami telah menahan suspek dan merampas sebuah telefon bimbit dan dia kini ditahan di lokap Balai Polis Perak Tengah sebelum diserahkan kepada pegawai polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan," katanya kepada Astro AWANI.
Goh berkata polis akan menyiasat sama ada suspek mengendalikan akaun Facebook tersebut secara bersendirian ataupun bersama individu lain.
Jelasnya, buat masa ini, orang ramai diminta agar menghentikan sebarang spekulasi mengenai penahanan tersebut.
"Biar pihak polis jalankan siasatan terperinci terlebih dahulu agar perkara ini diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Pada 14 Julai lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengarahkan pihaknya memburu kesemua individu yang terlibat dalam menyebarkan berita palsu di laman sosial sehingga membawa kepada tunjuk perasaan dan keganasan oleh lebih 200 orang di sekitar Plaza Low Yat di ibu kota.
#berita palsu #blog #Facebook #Goh Kok Liang #Low Yat #Papa Gomo
;