PAPA diminta kemuka kos ambil amah

Astro Awani
Januari 8, 2013 07:06 MYT
Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) diminta mengemukakan kos perbelanjaannya dalam pengambilan pembantu rumah Indonesia untuk kelulusan kerajaan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, ia bagi membolehkan PAPA dan pembekal amah di Indonesia mengemukakan cadangan mereka kepada kerajaan masing-masing.
Subramaniam berkata, satu jawatankuasa bersama akan ditubuhkan untuk membincangkan cadangan tersebut.
Beliau juga mengalu-alukan cadangan PAPA untuk menaikkan kos bagi majikan Malaysia mengambil pembantu rumah Indonesia kepada RM6,700 berbanding RM4,511 sebelum ini.
Ia berikutan jumlah itu adalah lebih baik berbanding kos RM12 ribu yang dicadangkan PAPA sebelum ini.
Tambahnya, Malaysia akan bekerjasama dengan Indonesia bagi mencari penyelesaian secara baik dalam memastikan kos yang dicadangkan boleh dikurangkan.
Dalam pada itu, Subramaniam mencadangkan penyingkiran pihak ketiga atau orang tengah bagi mengurangkan kos pengambilan amah.
#Datuk Seri Dr S. Subramaniam #Menteri Sumber Manusia #PAPA #Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia
;