Pantun, upacara wangkang diiktiraf UNESCO

Nailah Huda
Disember 18, 2020 08:23 MYT
Upacara wangkang merangkumi beberapa peringkat, antaranya pembinaan dan penyembahan tongkang suci, perarakan gergasi dan ritual Tao yang disokong oleh ritual shaman tempatan. -Foto Jabatan Warisan Negara
KUALA LUMPUR: Pantun dan upacara wangkang diiktiraf sebagai warisan kebudayaan tidak ketara negara dalam kategori Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.
Buat pertama kali, Malaysia berjaya mengangkat warisan negara ke pengiktirafan UNESCO bersama negara lain apabila upacara wangkang dicalonkan bersama China, manakala pantun dicalonkan bersama Indonesia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan pengiktirafan ini akan mengangkat wajah Malaysia di mata dunia sebagai antara negara yang mempunyai pelbagai khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang boleh menjadi produk pelancongan negara.
Menurut Jabatan Warisan Negara, upacara wangkang berasal dari China dan dibawa ke Malaysia semasa Dinasti Ching antara 1644 dan 1911.
“Upacara tersebut merangkumi beberapa peringkat, antaranya pembinaan dan penyembahan tongkang suci, perarakan gergasi dan ritual Tao yang disokong oleh ritual shaman tempatan,” menurut dokumen Jabatan Warisan Negara.
Jelas dokumen itu juga, upacara itu menjadi simbol bagi semangat toleransi antara kaum di Melaka kerana penglibatan pelbagai kaum boleh dilihat semasa perarakan berlangsung.
Sementara itu, pantun didefinisikan Jabatan Warisan Negara sebagai “sebuah genre puisi Melayu tradisional yang tertua dalam tradisi budaya Melayu”.
Dua pengiktirafan itu menjadikan jumlah warisan kebudayaan tidak ketara negara yang tersenarai dalam kategori UNESCO kepada lima.
Sebelum ini, warisan kebudayaan pertama yang diiktiraf adalah mak yong pada 2005, diikuti dengan dondang sayang pada 2018 dan silat pada 2019.
“Kejayaan ini merupakan hasil usaha bersama semua pihak yang terlibat dan satu bentuk pengiktirafan bagi para pengamalnya yang memastikan warisan seni budaya ini terus kekal sepanjang zaman,” menurut kenyataan MOTAC.
Nancy mengingatkan bahawa pengiktirafan ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak tidak kira pihak kerajaan, swasta, NGO, komuniti atau individu untuk memastikan warisan ini terus dilindungi dan disampaikan kepada generasi akan datang.
Di Singapura pula, tradisi menikmati makanan di ruang terbuka pusat penjaja turut diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara oleh UNESCO.
#Nancy Shukri #Unesco #MOTAC #Pantun #wangkang #upacara wangkang #warisan budaya tidak ketara #Jabatan Warisan Negara #budaya #Seni #Singapura #pusat penjaja #China #Indonesia
;