'Pantun Syawal' Menteri Kewangan buat rakyat Malaysia

Ridauddin Daud
Mei 19, 2020 15:21 MYT
Tengku Zafrul pasti ada hikmah di sebalik sambutan Aidilfitri dalam normal baharu kali ini. Gambar fail
Memahami rintihan hati rakyat terutama umat Islam yang menyambut Aidilfitri tahun ini dalam suasana normal baharu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menitipkan dua rangkap pantun buat mereka.
Pantun itu diungkapkan sebelum beliau mengakhiri siaran langsung Perkongsian Laporan Ke-6 Pencapaian Prihatin - Laksana pada Selasa.
“Anak Pak Nazri berlari-lari,
Sambil berlari memakan roti,
WhatsApp dikirim pengganti diri,
Memohon maaf seikhlas hati.
“Cantik sungguh si rama-rama,
Hinggap seekor atas bendera,
1 Syawal menjelang tiba,
Jangan berziarah, video call saja.
“Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin kepada semua umat Islam dan kepada yang bukan Islam, selamat bercuti,” katanya.
Dalam siaran langsung sama, beliau berkata meskipun Syawal tahun ini disambut dengan cara berbeza namun pasti ada hikmah dan mesej keinsafan di sebalik kesederhanaan persiapan Hari Raya tahun ini.
“Yang pentingnya kita perlu bersyukur dengan keadaan wabak yang amat terkawal di Malaysia dan berterima kasih dengan apa yang mampu dinikmati,” katanya.
#Aidilfitri #hari raya #Islam #Menteri Kewangan #Pantun #rakyat Malaysia #Tengku Zafrul #WhatsApp
;