Pantau penggunaan elektrik, elak membazir
Bernama
Disember 23, 2023 07:30 MYT
Disember 23, 2023 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelarasan tarif elektrik tahun hadapan membabitkan pengguna elektrik tinggi, menuntut perubahan sikap pengguna supaya menjadi lebih berhemat dan teliti.
Seperti diumum Suruhanjaya Tenaga (ST) pada Jumaat, pengguna dengan bil elektrik bulanan bawah RM220 masih mendapat rebat dua sen/kwj seperti sediakala, justeru setiap pengguna wajar memantau penggunaan mereka untuk kekal menikmati caj yang rendah.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Jasrul Jamani Jamian berkata penjimatan elektrik dengan pengurangan jam penggunaan antara cara paling mudah bagi pengurangan bil elektrik namun memerlukan komitmen dari segi sikap pengguna.
"Pengguna perlu memastikan semua peralatan elektrik tidak digunakan ditutup sepenuhnya dengan cara ini, jumlah jam bagi peralatan tersebut akan jadi rendah sekali gus mengurangkan jumlah tenaga digunakan," katanya kepada Bernama.
Pada Jumaat, ST dalam kenyataan memaklumkan tarif elektrik mulai tahun hadapan akan diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api itu, mengikut mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).
Presiden Mesra Pengguna Malaysia Datuk Seri Haniff Omar pula berpandangan tujuan ICPT diperkenalkan ialah untuk mengurangkan beban ditanggung pembekal utiliti, TNB, berikutan kenaikan kos bahan bakar dalam bentuk rebat dan surcaj kepada pengguna mengikut kadar elektrik digunakan.
Beliau berkata oleh kerana mekanisme ini bertujuan memberi insentif kepada penggunaan elektrik rendah dan disinsentif kepada penggunaan tinggi melebihi kadar ditetapkan maka pengguna boleh mengambil faedah dari pendekatan itu dengan mengawal kadar penggunaan harian elektrik mereka.
"Bagi pengguna yang belum menukar meter elektrik mereka kepada meter pintar, inilah masanya untuk berbuat demikian kerana melalui meter pintar mereka boleh menyemak kadar penggunaan elektrik secara harian sambil mengawal penggunaan elektrik.
"Harga bahan bakar dunia dijangka akan terus mengalami kenaikan maka sampai masanya kita menjadi pengguna yang bijak dengan mengambil langkah-langkah penjimatan seperti menggantikan mentol lampu dengan mentol LED, menggunakan tenaga solar.
"Walaupun sesetengah peralatan ini lebih mahal namun ia amat menjimatkan dalam jangka masa panjang," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Saravanan Thambirajah berkata pengguna dinasihatkan supaya lebih berhemat dalam menggunakan elektrik dan beralih kepada peralatan cekap tenaga seperti lampu LED, alat elektrik jimat tenaga Lima Bintang.
Pengguna juga dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat pakar bagi mengaudit penggunaan tenaga di rumah kerana sesetengah peralatan menggunakan lebih banyak tenaga terutama penyaman udara, ketuhar dan peti sejuk lama atau bertukar kepada tenaga solar kerana ia sangat berpatutan di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).
"Ketika negara sedang menuju inisiatif Karbon Sifar Bersih, kita sebagai pengguna boleh memainkan peranan penting dengan mengamalkan gaya hidup cekap tenaga.
"Beralih kepada tenaga solar, hibrid atau kenderaan elektrik (EV) dan banyak lagi, akan membantu mencapai peralihan tenaga yang mampan sekali gus membantu menangani kesan perubahan iklim," katanya.
-- BERNAMA