Pantau kegiatan militan, 100 anggota Counter Terrorism diserap ke IPK negeri - Khalid

Wan Syamsul Amly
Mac 25, 2016 21:14 MYT
KHALID: Kita akan wujudkan 100 jawatan di peringkat negeri, iaitu unit terrorism. Kita akan lihat jika ada keperluan untuk menambahnya lagi. -Gambar fail
Seramai 100 anggota Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman akan ditempatkan di setiap ibu pejabat polis negeri untuk memantau kegiatan militan Daish.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penambahan itu perlu untuk melihat kegiatan kumpulan berkenaan di peringkat negeri.
"Kerajaan juga sudah memberi kelulusan selain mengakui ada peruntukan tambahan dibuat untuk jawatan baharu berkenaan.
"Kita akan wujudkan 100 jawatan di peringkat negeri, iaitu unit terrorism. Kita akan lihat jika ada keperluan untuk menambahnya lagi.
"Ia sudah mula dan sedang dilaksanakan sekarang, yang penting kita sedar perkara ini mustahak kita perlu beri perhatian selain bergerak cepat," katanya semasa sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Polis ke-209 oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pulapol di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyalurkan maklumat berkaitan individu dan kumpulan pengganas kepada ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di seluruh negara.
Dalam pada itu, katanya, Pusat Komunikasi Pintasan Mesej Digital Serantau (RDC3) akan diwujudkan di Bukit Aman bermula 1 April ini.
Ia akan dijadikan pusat dalam memerangi penyebaran ideologi keganasan terutamanya gerakan militan Daish.
Penubuhan RDC3 bertujuan menyekat penyebaran propaganda Daish terutamanya melalui internet.
#Bahagian Counter Terrorism #Cawangan Khas Bukit Aman #Khalid Abu Bakar #militan Daish
;