Pantau, kawal anak-anak susulan laporan cubaan culik - Siti Zailah
Wanna Abd Rahim
September 26, 2022 15:48 MYT
September 26, 2022 15:48 MYT
KOTA BHARU: Anggota keluarga termasuk ibu bapa digesa agar melakukan kawalan ketat terhadap anak-anak bagi menjamin keselamatan mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata ia susulan beberapa laporan kes cubaan menculik yang berlaku sejak minggu lalu melibatkan kanak-kanak dan remaja di tempat awam dan semasa pulang dari sekolah.
"Saya harapkan kita semua kena jaga keselamatan. Macam-macam penculikan berlaku. Saya mengharapkan setiap keluarga mesti menjaga dan memantau keluarga masing-masing. Pastikan jaga keselamatan. Kita tidak tahu apa yang dirancang, ia berlaku di luar jangkaan kita.
"Macam-macam yang berlaku, apabila tamat masa persekolahan, jangan biarkan anak-anak bermain bersendirian dan jagalah keselamatan anak-anak kita," katanya ketika ditemui pada Majlis Klinik Penyelesaian Tunggakan Pusaka Parlimen Kota Bharu, di sini, pagi tadi.
Mengulas penculikan seorang ejen kosmetik sebelum ini, Siti Zailah berharap keluarga mangsa dapat bersabar menunggu hasil siasatan.
"Apa yang kita boleh bantu setakat ini mungkin sokongan psikologi. Kita akan memantau dan membantu daripada sudut psikologi. Namun, isu keselamatan adalah di bawah kementerian lain dan ia sudah tentunya sedang ditangani oleh pihak keselamatan terlibat," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, bagi berdepan situasi banjir di luar jangka pada hujung tahun ini, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan lebih 6,000 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta bantuan lain kepada mangsa banjir.
"Persiapan banjir semua agensi-agensi yang terlibat di Kerajaan Persekutuan dan Negeri kita akan bekerjasama, dimana persiapan bagi depoh- depoh bekalan makanan khususnya peralatan untuk bekalan hadapan telah pun disiapkan diseluruh negara.
"Kita berdoalah agar semua berjalan lancar dan harapan saya supaya kita sama-sama mengadakan solat hajat bagi kemungkinan banjir berlaku di luar jangka," katanya.
Menurut Siti Zailah lagi, kementeriannya turut membuat persediaan bagi pegawai psikologi untuk melaksanakan intervensi krisis yang membantu melaksanakan sokongan moral serta pemulihan psikologi bagi mangsa banjir.
"Nasihat saya kepada penduduk yang terlibat dalam kawasan banjir sekiranya air naik dengan laju pergi ke pusat perpindahan banjir yang kita sediakan.
"Di daerah Pasir Mas sahaja kita ada 31 pusat pemindahan yang telah digazetkan untuk menempatkan mangsa banjir.
"Keseluruhan negara kita ada lebih 6,000 pusat pemindahan yang kita gazetkan berbanding tahun lepas hanya 5,500 sahaja. Jadi kalau keseluruhan itu kita dapat memanfaatkan kepada 1 juta mangsa banjir yang boleh kita tempatkan.
"Saya harapkan segera berpindah untuk mengelakkan keadaan yang membahayakan," katanya lagi.