Pantau harga diesel supaya harga barang tidak naik - Pakar ekonomi
Shaznina Rozman
Jun 10, 2024 13:09 MYT
Jun 10, 2024 13:09 MYT
KUALA LUMPUR: Susulan langkah penyasaran subsidi kerajaan yang menyaksikan apungan harga diesel, penguatkuasaan harus dipertingkatkan bagi mengelak daripada timbul situasi di mana peniaga dengan sengaja menaikkan harga barang.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini kerana, maklumat struktur kos perniagaan bukan satu perkara yang diketahui umum dan ia memerlukan pemantauan berkala pihak berkuasa.
"Apabila pergi ke kedai dan mendapati kos perniagaan meningkat, maka peniaga terpaksa mengenakan harga yang lebih tinggi dan kebanyakan pengguna akan menerima sahaja,
"Oleh itu, pihak berkuasa perlu melihat perkara ini agar dapat memastikan aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dapat dikekang," katanya.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata, inisiatif BUDI MADANI harus diperkasa khususnya untuk golongan yang layak namun tidak tahu cara memohon.
Justeru, beliau menggesa sesi penerangan berkala dijalankan bagi memastikan tiada keciciran golongan yang layak menerima bantuan RM200 sebulan itu.
Tambahnya, penjimatan yang diperoleh kerajaan melalui potongan subsidi ini akan mampu disalurkan kepada segmen yang lebih penting.
"Kerajaan akan membelanjakannya ke arah produktiviti seperti sektor pendidikan, kesihatan dan infrastruktur, di mana kita sedia maklum perkara ini penting untuk generasi akan datang,
"Contohnya, jika kita lihat sektor pendidikan, sudah pasti kita perlukan sekolah yang baik dari segi infrastruktur, bilik darjah dan perabot,
"Langkah ini akan dapat memastikan pelajar datang belajar dengan tenang, cikgu bermotivasi untuk mengajar dan semua ini memerlukan dana untuk meningkatkan sektor pendidikan," kata Mohd Afzanizam.
Beliau juga yakin melalui langkah rasionalisasi subsidi ini, agensi-agensi penarafan kredit seperti Moody's, S&P, dan Fitch Ratings dijangka memberi penilaian positif terhadap kedudukan kredit kerajaan Malaysia.
Ia susulan langkah dan komitmen kerajaan dalam mengurangkan defisit fiskal yang jitu.