Pantau, analisis penggunaan elektrik untuk penjimatan - ST

Bernama
Jun 24, 2023 05:30 MYT
ST meminta pengguna elektrik untuk merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.
PUTRAJAYA: Penjimatan tenaga elektrik boleh dilakukan menerusi pelaksanaan audit penggunaan tenaga dengan memantau dan menganalisis penggunaan serta mengenal pasti peralatan, proses dan sistem yang boleh ditambah baik.
Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan semalam, pengguna boleh membeli atau menggantikan dengan peralatan elektrik mempunyai penarafan lima bintang dan memberikan lebih banyak penjimatan elektrik serta melaksanakan penyelenggaraan terhadap peralatan elektrik secara berkala mengikut spesifikasi ditetapkan.
Selain itu, ST turut mengingatkan pengguna supaya memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran tenaga elektrik, di samping menggunakan peralatan elektrik dengan lebih efisien contohnya menetapkan suhu penyaman udara pada 24 hingga 26 darjah Celcius.
"Selain itu, semua pengguna digalakkan untuk mengamalkan penggunaan elektrik dengan bijak melalui penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga.
"Pengguna juga digalakkan untuk memanfaatkan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) sebagai langkah untuk meminimumkan kos bil elektrik," menurut ST.
Selain itu, suruhanjaya berkenaan meminta pengguna elektrik untuk merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.
Menurut ST, anggaran kos bil elektrik bulanan dapat dilakukan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui portal www.myelectricitybill.my.
"Pengguna boleh memasukkan unjuran harga arang batu dan gas serta kadar tukaran wang asing (forecast fuel price dan forex) untuk membuat anggaran Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) bagi tempoh pelarasan tarif akan datang," katanya.
Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan telah bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme ICPT bagi pengguna di Semenanjung untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini dilaksanakan secara bersasar.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Tenaga #ICPT #Pelarasan tarif elektrik #tenaga elektrik
;