Pantau aktiviti 'mak nyah' dan pondan, contohi pendirian Safiey Ilias - Jamil Khir

Astro Awani
April 23, 2016 19:48 MYT
Allah katanya tidak akan menganiaya hamba-hambanya dan akan memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka yang dikehendaki asalkan terus berdoa untuk mendapat keampunan Allah, kata Jamil - Gambar fail
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta agar Majlis Agama Islam negeri-negeri memantau aktiviti `mak nyah’ ataupun `pondan’ di negeri masing-masing agar tidak terus berkembang di negara ini.
Ini kerana, golongan itu katanya boleh menimbulkan persepsi tidak baik kepada Islam dan dibimbangi boleh menjadi ikutan generasi muda pada hari ini.
Katanya walaupun bahagian penguatkuasa agama sering melakukan operasi dan pemeriksaan, namun jika tidak diberikan perhatian ianya akan menjadi barah dalam sesebuah masyarakat.
“Saya menyeru kepada pihak berkuasa agama untuk sentiasa memantau pergerakan ini dan sentiasa megambil tindakan tindakan perlu. Paling penting juga adalah proses, bukan peringkat penangkapan semata mata, tapi proses untuk mengembalikan mereka ini ke jalan sebenar,” katanya.
Jamil turut memuji tindakan jutawan kosmetik, Safiey Ilias yang sanggup membuang implan payudaranya dan kembali menjadi lelaki normal selepas sedar kesilapan lalu sebagai pondan.
“Kita mengucapkan tahniah juga baru-baru ni seorang yang bergelar ‘mak nyah’, dia setelah mendapat kesedaran, hidayah kembali untuk hidup sebagai lelaki normal,” kata Jamil selepas merasmikan Program Memperkasakan Pahlawanku di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, hari ini.
BACA: 'Saya bazir banyak masa di jalan maksiat, sekarang saya nak tebus' - Safiey Ilias
Allah katanya tidak akan menganiaya hamba-hambanya dan akan memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka yang dikehendaki asalkan terus berdoa untuk mendapat keampunan Allah.
#Jamil Khir Baharom #mak nyah #pondan #safiey ilias #transgender
;