Pantang maut sebelum ajal, dua selamat kereta terjun gaung
Nazialita Geynna Maharan
April 5, 2018 05:38 MYT
April 5, 2018 05:38 MYT
Dua lelaki terselamat selepas kenderaan mereka menjunam sedalam 60 meter ke dalam gaung akibat tanah runtuh di Kilometer 16, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden yang menimpa Proton Persona dari arah Jeli ke Gerik itu sekitar jam 4 petang.
“Siasatan awal mendapati setibanya di Kilometer 16 semasa di selekoh menuruni bukit, pemandu telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kanan jalan.
“Sejurus itu, kenderaan itu telah terjatuh ke dalam gaung tempat tanah runtuh yang sedang dalam proses penambahbaikan,” katanya kepada Astro AWANI ketika mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, pemandu dan penumpang kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kerosakan kenderaan itu adalah pada keseluruhan bahagian kenderaan.
Sementara itu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gerik berkata menerima panggilan sekitar jam 4.17 petang mengenai insiden itu.
“Kedua-dua mangsa berkenaan keluar dengan sendirinya setibanya kami di lokasi dan kami membantu memimpin mangsa untuk diserahkan kepada ambulans bagi pemeriksaan rawatan.
“Operasi tamat sepenuhnya sekitar 4.58 petang,” ujarnya lagi.