Pantai Mek Mas diserbu selepas tular fenomena 'laut terbelah'

Sinar Harian
Oktober 16, 2021 06:00 MYT
Orang ramai dilihat begitu teruja berjalan di tengah-tengah beting pasir yang dipercayai terbentuk akibat air surut. -Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Pantai Mek Mas, Kuala Besar di sini yang sebelum ini 'sepi' kembali meriah dengan kedatangan orang ramai selepas fenomena 'laut terbelah' di kawasan itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati orang ramai dilihat begitu teruja melihat fenomena itu yang mana mereka boleh berjalan di tengah-tengah beting pasir yang dipercayai terbentuk akibat air surut.
Seorang pengunjung, Sabariah Ibrahim, 50, mengakui teruja dapat melihat fenomena yang dianggap pelik itu.
"Jika sebelum ini saya hanya melihat fenomena itu menerusi perkongsian video sahaja selepas ia tular beberapa hari lalu.
"Namun hari ini, saya dapat melihat ia secara jelas dan ia menjadi pengalaman baharu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, dia sanggup memandu dari Berek 12 di sini ke Pantai Mek Mas untuk menyaksikan kejadian itu.
Bagi Diyana Kamaruddin, 24, perasaannya membuak-buak untuk menyaksikan fenomena itu secara sendiri selepas menonton rakaman video yang tular di media sosial.
"Mulanya saya ingat biasa-biasa sahaja, tetapi bila dilihat secara 'live' ia betul-betul menakjubkan.
"Jadi tidak sia-sia saya memandu kereta dari Bachok untuk melihat fenomena pelik ini," katanya.
Sementara itu, Fifiana Alisa Rosle,24, berkata, kelonggaran pergerakan yang diberikan oleh kerajaan membuatkannya memilih untuk berkunjung ke pantai berkenaan.
Katanya, walaupun kerajaan melonggarkan pergerakan, namun prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dipatuhi seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
Penghulu Tanpa Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, Malek Mohd Nor pula menasihatkan para pengunjung supaya berhati-hati semasa berkunjung ke lokasi berkenaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Katanya, kebimbangan itu tampak berasas apabila struktur pasir di kawasan tersebut tidak diketahui sama ada ia kukuh atau sebaliknya.
"Lagipun lokasi itu bukan tempat pelancongan, sebaliknya tapak perlombongan pasir," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Pantai Mek Mas #laut terbelah #beting pasir #air surut
;