Pantai Batu Ferringhi dicadang ditutup sementara

Bernama
Februari 8, 2014 14:53 MYT
Kementerian Kesihatan mencadangkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang supaya menutup sementara kepada orang ramai kawasan pantai Batu Ferringhi yang airnya dikhuatiri tercemar dengan elemen bakteria e-coli (Escherichia coli).
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pihaknya bimbang orang ramai yang mandi-manda di situ dijangkiti bakteria berkenaan yang boleh menyebabkan jangkitan seperti ciri-birit.
"Memang setakat ini kita belum terima sebarang laporan ada pengunjung atau orang ramai yang pergi kawasan Pantai Batu Ferringhi dijangkiti e-coli, tetapi Kementerian Kesihatan memandang serius perkara ini.
"Jadi kementerian berharap kerajaan negeri dapat tutup sementara (kawasan yang tercemar) bagi mengelak ada yang dijangkiti bakteria berkenaan dan pasukan kesihatan juga akan bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Kasih Cinta Masjid di Masjid Kampung Rawa di sini hari ini.
Isu pencemaran sebahagian air laut di pantai berkenaan serta beberapa sungai berdekatan yang dilaporkan media sejak Isnin lepas mendapat perhatian umum memandangkan pantai berkenaan popular sebagai destinasi pelancongan.
Maklumat awal yang diperoleh Jabatan Aalam Sekitar mendapati terdapat elemen e-coli dalam sampel air yang diambil dari Sungai Batu Feringhi.
Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata peniaga makanan di Batu Ferringhi juga dinasihat supaya menjaga kebersihan barangan jualan mereka agar tidak terdedah kepada e-coli.
"Kerajaan negeri juga perlu ambil tindakan segera untuk atasi pencemaran itu kerana ia beri imej dan kesan buruk kepada sektor pelancong negeri ini. Saya risau pelancong pilih pantai lain untuk mereka bercuti berbanding Batu Ferringi," katanya.
#kementeria kesihatan #Pantai Batu Ferringhi #pulau pinang
;