Pantai Batu Ferringhi, Bagan Ajam jadi tumpuan pelancong
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 17, 2021 19:45 MYT
Oktober 17, 2021 19:45 MYT
GEORGE TOWN: Selepas kebenaran merentas negeri diumumkan bermula 11 Oktober lalu, Pantai Batu Ferringhi di bahagian pulau dan Pantai Bagan Ajam di Butterworth antara lokasi popular di Pulau Pinang yang dikunjungi pelancong untuk bercuti dan beriadah bersama keluarga.
Tinjauan di dua lokasi itu yang sebelum ini sepi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, kini kembali meriah dengan kehadiran pelancong terutamanya dari luar Pulau Pinang.
Rata-rata yang ditemui memaklumkan memilih kawasan pantai untuk bercuti sambil berkelah dan mandi-manda bersama keluarga selepas lama terkurung di rumah.
“Bawa anak-anak beriadah, memang dah lama tak mai (datang). Rancangan mai pantai pun sebab mahu elak daripada orang ramai dan kebetulan bajet juga tidak tinggi, jadi mai sini percuma dan anak-anak pun suka (mandi laut), “ kata pengawal keselamatan, Zainab Hashim dari Kulim, Kedah.
Sekalipun, kunjungan ke pusat pelancongan itu untuk menghabiskan cuti hujung minggu, namun, pengunjung yang ditemui mengakui, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sangat penting bagi menjamin keselamatan diri dan ahli keluarga berikutan negara belum pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19.
“Kalau dari segi SOP memang masing-masing kena jaga, pakai penutup muka, jaga jarak fizikal kita dengan ornag lain.
“Satu lagi kalau pergi ke sesuatu tempat, jagalah kebersihan diri juga serta tempat yang dikunjungi.
“Kenapa kami pilih pantai ialah sebab di sini (pantai) kitab oleh jaga jarak, tidak terlalu padat dan mudah patuh SOP,” ujar Muhammad Redha Syafizal Mohd Salmie yangt juga seorang pelajar.
Bagi Thevaki Nadarajan pula, kegembiraan dia sekeluarga sukar digambarkan dengan kata-kata apabila berpeluang bercuti.
Sementara itu, bagi pengusaha sukan air di Batu Ferringhi pula, mereka kini mampu menarik nafas lega apabila perniagaan yang terpaksa ditutup lebih setahun lalu kini kembali ‘bernafas’.
Menurut Mohd Edari Darus, kehadiran pelancong terutamanya dari luar Pulau Pinang membantu melonjakkan semula ekonomi para pengusaha sukan air sepertinya.
“Dalam tempoh PKP kami berhenti berniaga, buka semula 1 Oktober lalu sampai sekarang sudah dua minggu lebih.
“Sambutan yang diterima lebih kurang 50 hingga 60 peratus. Pelancong semua dari dalam negara saja,” kata pengusaha sukan air Mohd Ezari Darus.
Katanya, dia bersama kakitangan akan memastikan setiap pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, pelancong mengambil peluang mengisi masa dengan aktiviti sukan air seperti jet ski dan banana boat yang di kawasan pantai berkenaan.
Pulau Pinang dijangkakan menerima kira-kira 50,000 pengunjung untuk bercuti di negeri itu pada hujung minggu selepas kebenaran merentas negeri diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.