Pantai Air Papan jadi tumpuan ketika cuti sekolah

Bernama
Februari 2, 2025 13:30 MYT
Tinjauan mendapati pantai yang popular dalam kalangan penduduk setempat itu, meriah dengan kehadiran pengunjung. - Gambar/ Bernama
MERSING: Pantai Air Papan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari bandar Mersing menjadi tumpuan ramai untuk beriadah sepanjang cuti sekolah dan cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Tinjauan Bernama mendapati pantai yang popular dalam kalangan penduduk setempat itu, meriah dengan kehadiran pengunjung selain kebanyakan resort dan chalet dilihat menerima sambutan menggalakkan meskipun masih lagi dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL).
Pengurus Kampung Stay Teluk Buih Mohamad Asyraf Johari berkata resort yang menawarkan lapan bilik jenis vila berkembar dan dua unit vila itu habis ditempah hampir setiap hari sejak cuti sekolah bermula pertengahan bulan lepas.
"Kita menerima ramai pelancong dari Singapura dan Johor Bahru terutama kaki pancing serta penggemar sukan mountain bike yang setiap kali ada latihan atau acara di Bukit Selantai, mereka memilih untuk menginap di sini.
"Ada yang datang bersama keluarga dan rakan-rakan, malah sebahagian yang menginap hanya untuk tidur dan keluar awal pagi untuk pergi memancing manakala isteri dan anak-anak mereka bersantai di sini," katanya ketika ditemui Bernama.
Mohamad Asyraf berkata resort di bawah pengurusan Majlis Daerah Mersing itu, turut menjadi tumpuan pengunjung yang ingin mendapatkan hasil laut segar seperti ikan, udang, ketam dan sotong berikutan terletak berhampiran pasar nelayan.
"Kebiasaannya mereka yang menginap di sini teruja kerana selain dapat menikmati panorama indah berserta kemudahan lengkap, mereka boleh melakukan aktiviti barbeku dengan hasil laut segar.
"Pada masa sama, kita di sini tiada masalah dengan MTL kerana ia bukan sepanjang masa dan jika berlaku ombak kuat resort ini tidak terjejas kerana berada di kawasan teluk.
"Selain itu, kita juga mempunyai dewan yang bersesuaian untuk tempahan majlis perkahwinan, mesyuarat dan seminar selain Kuntum Cafe yang turut dibuka kepada orang ramai setiap hari, di samping pangkalan ikan bersebelahan resort yang menawarkan aktiviti memancing laut dalam," katanya.
Sementara itu, Pengurus Mersing Beach Resort Muhammad Afiq Hazizi Md Anwar berkata kebiasaannya pusat peranginan yang mempunyai 54 unit bilik itu penuh pada hujung minggu, cuti persekolahan atau cuti umum.
"Keindahan alam semula jadi seperti sawah padi dan Bukit Selantai di sekitar kawasan Pantai Air Papan menjadi tarikan pengunjung termasuk pelancong asing, selain menjadi transit untuk mereka yang ingin ke rangkaian pulau indah di daerah ini.
"Kita juga menawarkan pakej dewan untuk mesyuarat, kursus, majlis perkahwinan, set karaoke dan alatan untuk sukaneka bagi mereka yang ingin mengadakan Hari Keluarga, malah mereka juga boleh melakukan tempahan untuk ke pulau," katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Afiq Hazizi berharap agar pihak berkaitan dapat mengadakan lebih banyak aktiviti berkaitan air seperti banana boat, jet ski dan parasailing di pantai berkenaan bagi meningkatkan lagi kehadiran pelancong.
"Secara tidak langsung, aktiviti tersebut dapat memberi limpahan kepada ekonomi masyarakat setempat dan menambahkan kemeriahan," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan MTL yang bermula pada 5 Nov lepas akan berterusan hingga Mac 2025, dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu.
-- BERNAMA
#Pantai Air Papan #Mersing #cuti sekolah #pantai menarik
;