Panorama Pantai Pasir Lanun pikat pengunjung, aspek keselamatan perlu dipertingkat

Bernama
Jun 10, 2023 18:05 MYT
Pantai Pasir Lanun yang sebelum ini kurang popular berbanding Pantai Air Papan dan Pantai Penyabong di sini, semakin menjadi tarikan pengunjung dari seluruh negeri. - Gambar/ IG manap.nor
MERSING: Pantai Pasir Lanun yang terletak kira-kira 35 kilometer dari pekan Mersing semakin menjadi tarikan pengunjung selepas tular di media sosial baru-baru ini, berikutan panorama indah dan suasananya yang mendamaikan.
Tinjauan Bernama mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar berlatarkan pemandangan alam semula jadi, meskipun terpaksa melalui lereng yang curam dan sempit serta hanya muat untuk sebuah kereta.
Justeru, terdapat kebimbangan dari aspek keselamatan susulan jumlah pengunjung yang semakin ramai, biarpun dilihat terdapat beberapa papan tanda amaran telah diletakkan di sekitar kawasan tersebut.
Seorang pengunjung, Fauzi Abd Manaf, 27, dari Pasir Gudang berkata dia yang datang bercuti di daerah ini bersama-sama rakannya, mengetahui mengenai lokasi itu yang tular di aplikasi TikTok.
"Memang cantik pemandangan di sini...mengimbau kenangan saya ketika berkunjung ke Bali, Indonesia dulu...tak sangka Mersing ada hidden gem (permata tersembunyi), mungkin pihak berkaitan boleh perhebat promosi untuk menarik kedatangan lebih ramai pengunjung.
"Bagaimanapun, pada masa sama perlu pertingkatkan ciri-ciri keselamatan seperti memasang penghadang memandangkan keadaan jalan yang curam dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kereta pada satu-satu masa, " katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.
Seorang penduduk Mersing, Nurul Hidarina Mohammed Azam, 33, turut tidak melepaskan peluang untuk membawa keluarga dan saudara-maranya dari Alor Gajah, Melaka, berkunjung ke pantai berkenaan.
"Sebagai individu yang gemarkan alam semula jadi dan mudah 'teracun' dengan perkara tular, pastinya saya tak lepaskan peluang keemasan untuk 'berOOTD' (Outfit of the Day) dengan keluarga tersayang berlatarkan panorama indah.
"Bagaimanapun, mungkin pihak berwajib boleh buat jalan sehala memandangkan ada dua laluan ke pantai ini bagi mengelakkan kenderaan bertembung dan berlakunya kesesakan, yang dikhuatiri berlaku insiden tidak diingini, " kata peniaga dalam talian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani menasihati semua pengunjung agar berhati-hati ketika merakamkan foto dan berwaspada dengan struktur tebing yang tinggi dan berisiko runtuh.
"Pandulah dengan berhati-hati dan bunyikan hon ketika melalui selekoh selain mengelakkan daripada meletakkan kenderaan di atas laluan jalan yang sempit, curam serta bukit sehingga membahayakan pengguna lain.
"Ini kerana jalan yang sempit akan menyukarkan pergerakan anggota keselamatan seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta ambulans, sekiranya berlaku kecemasan," tegasnya.
Pantai Pasir Lanun yang sebelum ini kurang popular berbanding Pantai Air Papan dan Pantai Penyabong di sini, semakin menjadi tarikan pengunjung dari seluruh negeri termasuk konvoi bermotorsikal, malah ada yang mendakwa keindahan panorama pantai berkenaan setanding dengan negara luar.
-- BERNAMA
#Pantai Pasir Lanun #Mersing #Tular #Hidden Gem
;