Panjut malam tujuh likur tetap meriah walau di musim PKPB
Ernalisa Othman
Mei 19, 2020 09:50 MYT
Mei 19, 2020 09:50 MYT
Menjadi tradisi di sesetengah tempat di negara ini, malam tujuh likur di penghujung Ramadan dinanti, dengan niat semata-mata untuk memeriahkan suasana.
Ketika ini, walaupun dalam keadaan negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Jabatan Penyiaran Johor tetap memilih untuk memasang panjut atau pelita sempena malam tujuh likur.
Lazimnya, panjut menerangi kawasan perumahan tetapi kali ini, jabatan tersebut memilih cara tersendiri dengan memasang 550 batang pelita bagi menghiasi bangunan pejabat.
Timbalan Pengarah Penyiaran Johor, Md Sahri Saripan berkata, tujuan pihaknya memasang pelita pada malam tujuh likur adalah lebih kepada ingin meraikan kakitangan yang terpaksa bertugas di musim perayaan susulan penularan wabak COVID-19.
Jelasnya, walaupun ia dilakukan secara sederhana, namun tampak meriah, selain memelihara budaya tradisonal masyarakat Melayu.
"Di Johor ini, tidak asing memasang lampu panjut menjelang Aidilfitri. Kalau dulu ada orang anggap ia satu bidaah, atau merujuk kepada perkara-perkara syirik, tapi sebenarnya pemasangan pelita ialah satu budaya yang diamalkan sehingga hari ini.
"Saya lihat di kawasan seperti Pontian dan Batu Pahat, mereka masih lagi memasang lampu pelita untuk memeriahkan sambutan. Mereka hendak menyambut anak-anak balik kampung, tetapi tahun ini anak-anak tiada.
"Kita akan pasang tujuh malam berturut turut dari malam ini sehinggalah malam terakhir," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Sementara itu, bagi salah seorang kakitangan, Zahrunul Aini Sumery, pemasangan panjut di malam tujuh likur benar-benar menimbulkan rasa rindunya kepada suasana kampung.
"Saya keluar pintu pejabat, dan nampak lampu ini, saya cakap meriahnya, ditambah dengan bau asap.
"Minyak tanah itu sendiri mengimbau kembali nostalgia ketika kita berada di kampung bersama keluarga menghidupkan lampu pelita tujuh likur.
"Rasa sangat teruja. Istimewanya kali ini, saya bersama kawan-kawan menghidupkan lampu pelita ini," katanya.
Bagi kakitangan yang bukan beragama Islam, Johua Sadam, ini kali pertama dia turut serta bersama rakan-rakan beragama Islam memasang pelita panjut.
"Budaya memasang pelita seperti ini sudah lama tidak dipraktikkan selama saya berkhidmat di sini.
"Rasanya, ini kali pertama saya dapat merasainya dengan kawan-kawan Muslim. Sangat teruja. Ia satu pengalaman baru," katanya.
Pada era 1990-an dan sebelumnya, malam tujuh likur lazimnya disambut meriah terutama di desa-desa.
Kini bukan sahaja di kampung, tradisi itu diteruskan di simpang-simpang jalan di bandar.
Sementara itu, ada juga yang membina pelbagai replika seperti masjid atau ketupat dengan berlatarbelakang tulisan selamat hari raya dan diterangi pelita panjut.