Panjut hidupkan warisan lama dalam suasana normal baharu
Abd Razak Mohd Ali
Mei 23, 2020 12:08 MYT
Mei 23, 2020 12:08 MYT
Panjut atau pelita hiasan sering dipasang oleh masyarakat Melayu terutama di kampung-kampung menjelang sambutan Syawal.
Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan masa, warisan lama itu semakin disisihkan, bukan sahaja di taman-taman perumahan, malah di kampung-kampung tradisional juga, panjut semakin dilupakan.
Mengambil kesempatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak menganjurkan pertandingan panjut hiasan rumah bagi meneruskan tradisi warisan turun temurun itu.
ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata, pembuatan panjut sesuai dalam tempoh PKPB kerana ia hanya melibatkan seisi keluarga.
Menurut beliau, pembuatan panjut bukan hanya menambah kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun apa yang paling utama mengakrabkan hubungan sesama ahli keluarga.
"Dalam suasana kita menghadapi pandemik COVID-19,saya melihat ini antara salah satu daripada aktiviti yang bersesuaian dengan keadaan semasa kita.
"Memang ramai yang buat program dalam konteks secara online dan sebagainya tapi saya fikir ini adalah salah satu aktiviti kekeluargaan yang tak melibatkan pihak lain yang melibatkan hanya keluarga sendiri dan juga di pekarangan rumah mereka sendiri," kata Khairul Shahril.
Beliau yang juga Exco Perak ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan hiasan panjut di Bota, di sini pada Jumaat malam.
Selain hadiah wang tunai, pemenang turut menerima piala iringan dan sijil penyertaan.
Katanya, pihaknya menerima sambutan luar biasa dengan lebih 100 keluarga yang menyertai program membuat panjut di seluruh Bota merangkumi kampung dan juga taman-taman perumahan.
Pertandingan itu, kata beliau, akan menjadi acara tahunan dengan beberapa penambahbaikan termasuk hadiah kemenangan bagi menarik lebih banyak penyertaan, khususnya generasi muda.
"Kita harapkan penyertaannya akan menyeluruh kepada seluruh peringkat DUN Bota. Antara objektifnya untuk kita hidupkan semula suasana dulu-dulu.
"Kalau dulu-dulu di bulan puasa (aktiviti membuat panjut) cukup seronok (dilakukan) untuk kita menghidupkan suasana malam di samping kita mengambil peluang untuk beribadah," kata Khairul Shahril lagi.
Pemenang pertandingan panjut hiasan rumah itu dimenangi oleh Hashim Talib dari RPT Desa Seri Bayu.
#ADUN Bota
#Bota
#Hari Raya Aidilfitri
#kampung tradisional
#khairul shahril mohamed
#panjut
#parit
#pelita hiasan
#Perak
#syawal
#warisan lama