Panjat jambatan selepas khayal akibat hidu gam

Eleanor Michelle Patrick
September 28, 2021 16:56 MYT
Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas memanjat jambatan setinggi lebih enam meter, dipercayai khayal selepas menghidu gam. - Foto ihsan JBPM
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas memanjat jambatan setinggi lebih enam meter, dipercayai khayal selepas menghidu gam, dalam satu kejadian di Beaufort hari ini.
Lelaki berusia 20 tahun tersebut disedari sedang menaiki jambatan berkenaan oleh sepasukan polis yang sedang menjalankan Pematuhan dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, selepas usaha memujuknya turun gagal, anggota bertugas terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan menurunkan lelaki terbabit.
Jelasnya, sebaik berjaya dibawa turun, lelaki terbabit terus dibawa ke Balai Polis Beaufort untuk proses dokumentasi.
“Pemeriksaan tubuh badan dan beg sandang lelaki terbabit membawa kepada penemuan plastik dan satu tin gam.
“Lelaki terbabit terus ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 pagi.
Sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba dilokasi kejadian, laporan didapati benar di mana terdapat seorang mangsa terperangkap di atas jambatan.
“Pasukan bomba seterusnya menyelamatkan mangsa menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.55 pagi.
#panjat jambatan #khayal hidu gam #JBPM #Beaufort #Balai Polis Beaufort
;