Panik, kereta Alza rempuh ruang makan
Noraniza Kamsani
Februari 7, 2018 15:26 MYT
Februari 7, 2018 15:26 MYT
Pelanggan dan pekerja sebuah kedai makan di Jalan Sultan Ahmad, di sini, pagi tadi gempar apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza merempuh masuk ke ruangan makan premis berkenaan.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, kereta jenis Produa Alza yang dipandu seorang wanita berusia 56 tahun itu mengalami kerosakan teruk di bahagian depan namun tidak membabitkan kemalangam jiwa.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, siasatan awal mendapati, pemandu MPV berkenaan yang memandu dari arah Pekan menghala ke Rompin terpijak pedal minyak secara tidak sengaja selepas dikatakan hendak memijak pedal brek.
"Pemandu Perodua Alza itu pada awalnya berada di lorong menghala ke Rompin dan ingin masuk ke seberang jalan sebelah kanan di lokasi kejadian.
"Ketika itu, terdapat sebuah kenderaan di lorong bertentangan dari arah Rompin berhenti untuk memberi ruang kepadanya melintas ke kanan menuju tempat letak kereta di hadapan kedai makan berkenaan.
"Tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah bertentangan menyebabkan pemandu Perodua Alza itu terkejut dan panik lalu melulu ke ruang makan kedai tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, wanita itu cuba menekan brek namun tersalah menekan pedal minyak menyebabkan keretanya bergerak laju dan terlanggar sebuah kereta jenis Toyota Camry sebelum terbabas ke dalam kedai makan berkenaan.
Amran berkata, kejadian itu turut menyebabkan kerosakan pada kereta Toyota Camry dan motosikal Honda EX5.
“Pemandu kenderaan dan orang ramai di kawasan kedai makan itu tidak mengalami kecederaan dan setakat kini dua laporan berkaitan kemalangan itu sudah diterima,” katanya.