Panik disergah Imigresen, PATI cabut lari tinggal anak
Sinar Harian
Januari 22, 2022 09:20 MYT
Januari 22, 2022 09:20 MYT
KUALA LUMPUR: Panik disergah pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) ketika serbuan dijalankan, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak lari meninggalkan anaknya untuk menyelamatkan diri.
Difahamkan, ketika serbuan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu sedang nyenyak tidur di dalam bilik di sebuah rumah di perkampungan setinggan di Segambut Bahagia Tambahan, di sini awal pagi Sabtu.
Bagaimanapun, pegawai Imigresen berjaya menemui ibunya yang merupakan seorang warga Indonesia sedang bersembunyi dalam sebuah lubang yang digali di bawah rumahnya.
Pelbagai helah digunakan, antaranya ada yang terjun ke dalam longkang, menyorok di dalam almari, dan memanjat bumbung untuk mengelak daripada ditahan.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, seramai 211 individu diperiksa manakala 106 PATI warganegara Indonesia, terdiri daripada 45 lelaki dan 61 wanita berusia lingkungan sebulan hingga 55 tahun ditahan dalam operasi yang bermula sekitar jam 2 pagi.
"Kita terima aduan berkenaan penempatan haram ini dan selepas itu pegawai kita pun dah masuk buat risikan sebelum serbuan," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi serbuan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, rata-rata PATI terbabit bekerja dalam sektor pembersihan dan pembinaan serta dipercayai ada yang sudah menetap secara haram di perkampungan setinggan tersebut sehingga lima tahun.
"Mereka (PATI) ini menyewa di sini antara RM200 hingga RM300 sebulan malah ada antara mereka yang tiada langsung dokumen perjalanan," katanya.
Katanya, penempatan tersebut dipercayai sudah wujud sejak 15 tahun lalu dan kini dianggarkan sekitar 100 buah rumah setinggan dibina secara bertingkat-tingkat di kawasan tersebut.
"Dulu warga Malaysia duduk tetapi lama-kelamaan dipenuhi PATI, mungkin warganegara kita sewakan kepada mereka dan kita akan siasat dengan siapa dia menyewa serta kenal pasti siapa yang bina rumah berkenaan," ujarnya.
Kesemua tangkapan akan ditahan di Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.